KUALA LUMPUR: Sebanyak lapan kawasan Parlimen menyaksikan pertembungan tujuh penjuru dan lebih, dengan pertembungan paling ramai calon adalah di Parlimen Batu, dengan 10 calon.
Selain itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang, Perak menjadi kerusi DUN yang paling ramai ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), membabitkan tujuh calon.
Pada masa sama, DUN Bugaya yang turut mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 19 November ini, juga menyaksikan pertandingan tujuh penjuru.
Tujuh Parlimen lagi yang merekodkan pertembungan calon paling ramai adalah di Ampang, sebanyak sembilan penjuru.
Tiga Parlimen menyaksikan pertandingan lapan penjuru iaitu Kota Raja, Bangi dan Sepang, manakala empat Parlimen membabitkan tujuh penjuru iaitu Sungai Buloh, Klang, Kapar dan Alor Setar.
Selain menjadi kerusi Parlimen yang paling menjadi rebutan, kehangatan persaingan di Parlimen Batu bertambah dengan pertembungan antara penyandang kerusi, P.Prabakaran mewakili Pakatan Harapan (PH) dan bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua, yang memutuskan bertanding atas tiket Bebas.
Pada PRU14, Tian Chua menyatakan sokongan kepada Prabakaran, yang ketika itu bertanding sebagai calon Bebas, selepas beliau hilang kelayakan.
Bagaimanapun, pada penamaan calon PKR pada 28 Oktober lalu, Tian Chua yang memenangi kerusi itu pada PRU12 dan PRU13 digugurkan daripada menjadi calon.
Calon lain di Parlimen Batu ialah Datuk A.Kohilan Pillay daripada Barisan Nasional (BN), Azhar Yahya (Perikatan Nasional -PN), P.Naganathan (Parti Warisan -WARISAN) dan peguam Wan Azliana Wan Adnan (Parti Pejuang Tanah Air -PEJUANG).
Beberapa calon turut mencuba nasib atas platform Bebas, termasuk pempengaruh media sosial yang juga ahli perniagaan, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau lebih dikenali sebagai Cleopatra, peguam Siti Kasim, Too Cheng Huat dan Zulkifli Abd Fatah.
Di Ampang, penyandang kerusi, Datuk Zuraida Kamaruddin, yang bertanding mewakili Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan bertemu dengan lapan lagi calon termasuk, Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail mewakili PH, yang dalam misi merampas semula kerusi itu daripada Zuraida, yang meninggalkan PKR pada 2020.
Zuraida turut dicabar Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low Yi Wen (BN), Sasha Lyna Abdul Latif (PN), Nurul Ashikin Mabahwi (PEJUANG) dan Lai Wai Chong (WARISAN).
Calon lain, yang bertanding atas tiket Bebas ialah Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, Tan Hua Meng dan M.Raveendran.