Tumpuan :
Politik

PRU-15: Permatang Pauh Kekal “Setia” Atau “Berubah”?

Oleh Selwam Arjunan

PERMATANG PAUH: Mengapa Permatang Pauh tidak berubah wajah, terus ketinggalan dalam arus pembangunan selain masalah rakyat yang menghantui penduduknya puluhan tahun masih tidak mampu diselesaikan?

Itu persoalan yang dibawa calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Said dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang mahu pengundi memutuskan sama ada ingin maju ke hadapan atau kekal di takuk lama.

Ujarnya, pengundi perlu mengambil kira kawasan itu telah diwakili individu dari keluarga yang sama selama 40 tahun, termasuk dua pemimpin yang diberi peluang menerajui negara sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Beliau merujuk kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipilih sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh pada tahun 1982 hingga 1999 dan 2008 hingga 2015, diikuti isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dari tahun 1999 hingga 2008 dan 2015 hingga 2018, manakala anak mereka, Nurul Izzah dari 2018 hingga 2022.

“Kita semua maklum bahawa penduduk Permatang Pauh menunjukkan kesetiaan yang tinggi terhadap keluarga Datuk Seri Anwar yang mewakili mereka selama empat dekad. Kita faham kesetiaan itu. Sebab itu Permatang Pauh kekal sebagai kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Namun sebagai wakil rakyat, apa balasan mereka terhadap rakyat yang terus memilih mereka? Jawapannya, mereka gagal memberikan balasan yang terbaik kepada rakyat. Berapa lama mereka mahu mempergunakan kesetiaan yang ditunjukkan oleh penduduk Permatang Pauh?” soal beliau.

Katanya, hanya kawasan Dewan Undangan (DUN) Seberang Jaya menunjukkan kemajuan, itu pun hasil lokasi strategiknya yang merangkumi Lebuhraya Utara Selatan. Walau bagaimanapun, masalah banjir yang sering melanda kawasan itu tidak dapat diselesaikan.

“Lagi teruk ialah kawasan seperti pekan Permatang Pauh, DUN Penanti dan DUN Permatang Pasir. Kawasan itu masih kekurangan kemudahan awam termasuk pengangkutan awam dan infrastruktur seperti jalan raya yang baik.

“Cuba lawat Permatang Pauh bila anda ada masa. Cuba tengok pada pagi hari kerja. Cuba bawa kereta jalan-jalan seluruh Permatang Pauh. Anda boleh rasa betapa ketinggalan kawasan ini. Jalan raya yang tidak pernah ditambah baik dan ditambah lorong walaupun kesesakan trafik semakin memuncak.

“Lebih menyedihkan, masalah asas yang membelenggu penduduk kawasan juga tidak mampu diselesaikan oleh wakil rakyat sebelum ini dan penyandangnya, Nurul Izzah Anwar. Minggu ini masa banjir baru boleh nampak beliau di kawasan sebab tengah berkempen. Kalau sebelum ini, sorry la, tak nampak muka,” katanya.

Jelasnya lagi, kegagalan itu yang mendorongnya membawa tema “P044 Berubah” dalam kempen PRU-15. Kain rentang biru putih yang mengandungi perkataan dalam saiz besar itu diletakkan di pelbagai lokasi strategik di seluruh Permatang Pauh.

“Sebab itu saya bawa mesej YB yang tak buat kerja untuk rakyat. Dalam tempoh lima tahun (dipegang Nurul Izzah), dalam tempoh 23 tahun (dipegang Wan Azizah) di bawah PKR dan Pakatan Harapan, tiada langsung pembangunan. Masalah rakyat tidak diselesaikan. Banjir tak selesai. Sekolah tak cukup bilik darjah tak selesai. Kesesakan trafik semakin meruncing, tak ada penyelesaian.

“Jadi, saya rasa rakyat akan sedar. Tema “Berubah” yang saya bawa melekat dalam hati penduduk Permatang Pauh. Dalam pandangan saya, boleh nampak ada perubahan, tapi hanya dekat dengan hari undi kita boleh nampak jelas,” katanya.

Selain, penyelesaian masalah rakyat, Nurul Izzah juga didakwa gagal membawa masuk pelaburan dan tarikan baharu yang mampu merancakkan ekonomi setempat.

Kegagalan itu didakwa menyekat pewujudan peluang pekerjaan buat anak muda yang terpaksa keluar dari Permatang Pauh untuk mencari rezeki.

Menurut Zahidi, beliau tidak mahu membuat tuduhan kosong, sebaliknya membandingkan kemajuan kawasan jirannya, Parlimen Kepala Batas yang pesat membangun sebagai kawasan separa bandar daripada status luar bandar 20 tahun dahulu.

“Bekas Ahli Parlimen Kepala Batas yang juga mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyayangi rakyat Kepala Batas. Beliau meningkatkan infrastruktur kawasan dan juga memajukan Kepala Batas sebagai hub pendidikan dan pengajian tinggi.

“Hari ini hab pendidikan mempunyai kampus Universiti Sains Malaysia, Maktab Rendah Sains Mara, Kolej Matrikulasi, Sekolah Menengah Sains, Industri Latihan Perindustrian dan Kolej Komunit. Ia jelas membawa pelbagai manfaat kepda penduduk Kepala Batas, meningkatkan taraf hidup dan sosio-ekonomi setempat.

“Datuk Seri Reezal (Merican Naina Merican) mewarisi Parlimen Kepala Batas dari mentornya Tun Abdullah. Jadi beliau pun sayang pada rakyat Kepala Batas. Kita boleh nampak dalam tempoh lebih kurang 10 tahun lalu, Kepala Batas dah keluar dari status luar bandar ke separa bandar. Itulah hasil yang dinikmati rakyat apabila wakil rakyat prihatin dan mengambil tanggungjawab terhadap mereka.

“Boleh nampak perbezaan di antara sumbangan Tun Abdullah di Kepala Batas dan juga Datuk Seri Anwar dan keluarganya di Permatang Pauh. Inilah yang saya tekankan kepada rakyat Permatang Pauh dalam kempen saya,” ujarnya.

Tambahnya lagi, wakil rakyat Pakatan Harapan sering memberi alasan bahawa mereka hanya mentadbir negara selama 22 bulan, justeru tidak diberikan ruang masa sewajarnya untuk membawa pembaharuan yang dijanjikan.

Zaidi mengakui perubahan tidak dapat dilakukan dalam tempoh masa singkat, namun sekurang-kurangya boleh melakukan perancangan dan membuat permohonan untuk kelulusan, tetapi ia juga tidak dilakukan.

“Saya beri contoh Datuk Seri Reezal sendiri. Dalam masa beliau menjadi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam tempoh hanya 17 bulan, beliau membawa 700 unit rumah Projek Perumahan Rakyat di Kepala Batas. Kos pembinaan RM161,000 tapi dijual dengan harga RM42,000 kepada keluarga B40. Beliau juga dapatkan peruntukkan RM8 juta untuk Masjid Bertam Putra yang baharu.

“Malah semasa menjadi Menteri Belia dan Sukan selama 15 bulan, beliau berjaya mendapatkan peruntukkan RM45 juta untuk Pusat Belia Kepala Batas yang boleh menganjurkan pertandingan E-Sports di peringkat antarabangsa.

“Kalau Datuk Seri Reezal boleh bawa semua ini ke Kepala Batas dalam masa 17 bulan dan 15 bulan, mengapa Nurul Izzah tidak boleh memohon sesuatu kepada Perdana Menteri ketika Pakatan Harapan berkuasa? Atau kenapa tidak boleh mendapatkannya dari Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah yang juga ibunya sendiri.

“Kalaulah Nurul Izzah ada membuat permohonan projek rakyat dan ia diluluskan oleh PH, dan kemudiannya ia dibatalkan atas alasan politik oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Datuk Seri Ismail Sabri, saya akan menjadi orang pertama untuk bangkti membantah. Tapi saya tidak nampak satu pun. Mengapa Nurul Izzah tak buat? Itulah yang perlu difikirkan oleh rakyat Permatang Pauh,” katanya.

Justeru, beliau yakin pengundi Permatang Pauh bijak menilai perkara yang dibawanya dan memberi peluang kepada BN pada kali ini untuk memberi khidmat yang lebih baik dan membawa Permatang Pauh ke landasan pembangunan sambil mengekalkan nilai warisannya.

Parlimen Permatang Pauh menyaksikan saingan empat penjuru dengan Nurul Izzah Anwar (PH), Datuk Zaidi Said (BN), Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (Perikatan Nasional) dan Mohd Nasir Othman (PEJUANG).

Dalam PRU-14, Nurul Izzah yang berhijrah dari Parlimen Pantai Dalam memenangi Permatang Pauh dengan majoriti 15,668 undi selepas mendapat 35,534 undi, manakala Zaidi menerima 19,886 undi.-BULETIN TV3

Loading...
Terkini