PETALING JAYA : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bagi kerusi Parlimen Padang Serai, ditunda kepada 7 Disember depan.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, penamaan calon bagi PRU kerusi terbabit ditetapkan pada 24 November ini, sementara pengundian awal pada 3 Disember depan.
“Tempoh berkempen ditetapkan 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 24 November 2022 (Khamis) sehingga jam 11.59 malam, 6 Disember 2022 (Selasa).
“Urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara secara dalam talian dibuka daripada 18 November 2022 (Jumaat) dan ditutup pada 22 November 2022 (Selasa),” katanya kenyataan.
Seramai 2,468 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU-15 Parlimen P.017 Padang Serai. Manakala, sebanyak 46 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 230 tempat mengundi/saluran dan satu (1) pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi dua (2) tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.
Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 47 buah dengan 232 tempat mengundi/saluran.
PRU-15 Padang Serai dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM 1.6 juta.