IPOH: Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak, Mohd Nazri Ismail dilihat tiba di Istana Kinta, di sini, bagi sesi sembah menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Perak yang bersekali dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Difahamkan, sembah menghadap itu dijadualkan susulan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak serta pembentukan kerajaan negeri Perak yang masih tergantung susulan tiada gabungan parti politik berjaya pada kedudukan mejoriti mudah iaitu 30 kerusi DUN ke atas daripada keseluruhan 59 DUN di Perak.
Beliau tiba menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail kira-kira jam 10.23 pagi.
Terdahulu, kenderaan membawa Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Azmir Shah Zainal Abidin turut kelihatan memasuki perkarangan istana dengan luar perkarangan istana turut dikawal polis.
Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan, Perikatan Nasional (PN) mendahului apabila memenangi 26 kerusi DUN namun kekurangan empat lagi kerusi bagi membentuk mejoriti mudah.
Ia seterusnya diikuti Pakatan Harapan (PH) yang berjaya merangkul 24 kerusi, dan Barisan Nasional (sembilan) kerusi DUN.
Terdahulu, Timbalan Pengerusi PN Perak yang juga Pesuruhjaya PAS Perak dalam sidang media awal pagi tadi mengulangi pendirian tegas menolak kerjasama dengan PH khususnya bersama Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta parti DAP.
Razman yang turut diumumkan memenangi kerusi DUN Gunong Semanggol, berkata PN Perak akan mengadakan perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) bagi kerjasama membentuk kerajaan negeri Perak susulan kelompongan bilangan kerusi yang ada. – HARIAN METRO