comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Pemuda PH Pulau Pinang gesa MUDA guna logo PH

Majlis Presiden PH menerima permohonan daripada MUDA untuk menyertai PH secara rasmi pada awal September.

Oleh Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Pemuda Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang menggesa MUDA menggunakan logo PH di kerusi Parlimen Kepala Batas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebagai tanda keikhlasan dan semangat berpasukan.

Gesaan itu disuarakan dalam satu kenyataan bersama oleh Ketua Dapsy Pulau Pinang, Lee Wei Seang, Ketua Pemuda Amanah Pulau Pinang, Khairul Ali dan Ketua AMK Pulau Pinang, Fadzli Roslan selepas mesyuarat Pemuda PH negeri, hari ini.

Menurut mereka, Pemuda PH negeri menghormati keputusan Majlis Presiden PH yang menawarkan kerusi Parlimen Kepala Batas milik Parti Amanah Negara kepada calon MUDA pada kali ini.

“Kami menghormati keputusan yang telah diambil, akan tetapi kami ingin tegaskan bahawa Parti MUDA Pulau Pinang harus menggunakan logo Pakatan Harapan bagi Kerusi Parlimen Kepala Batas,” kata mereka.

Jelas mereka, pada awal bulan September Majlis Presiden PH menerima permohonan daripada MUDA untuk menyertai PH secara rasmi dan dua minggu lalu PH telah bersetuju untuk mengadakan kerjasama politik dengan MUDA dalam PRU-15.

Bagaimanapun, permohonan MUDA untuk menyertai PH secara rasmi mungkin tidak sempat diproses kerana memerlukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan sebelum PRU-15.

“Ini bermaksud tiada alasan jika PRU-15 kali ini parti MUDA tidak menggunakan lambang logo PH walaupun parti tersebut belum diterima secara rasmi disebabkan isu teknikal.”

“Sebagai menunjukkan keikhlasan dan bekerjasama sebagai satu pasukan, kami sekali lagi ingin tegaskan agar MUDA Pulau Pinang menggunakan hak fleksibiliti supaya gunakan logo PH bersama di Kawasan Parlimen Kepala Batas,” tambah mereka lagi.

Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz yang juga Pengarah Pilihan Raya MUDA sebelum ini berkata MUDA memutuskan untuk menggunakan logo MUDA selepas PH memberi pilihan sama ada menggunakan logo sendiri atau logo PH dalam PRU-15.

Danial Abdul Majeed, jurutera berusia 26 tahun diumumkan sebagai calon MUDA di kerusi Parlimen Kepala Batas.

Loading...
Terkini