Tumpuan :
Politik

PRU-15: Misi BN tawan semula, pertahan kerusi demi kemakmuran dan kestabilan

Calon BN Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Misi untuk menawan semula mahupun mempertahankan kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disifatkan calon Barisan Nasional (BN) sebagai satu cabaran yang perlu dilunaskan demi kemakmuran serta kestabilan negara.

Dengan sejarah dan rekod prestasi tiga kerajaan pada penggal lalu, pengundi kini bijak membuat pertimbangan untuk memilih wakil rakyat yang layak mengemudi negara bagi masa depan lebih baik.

Bagi calon BN Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, empat konsep BN yang menitikberatkan keperluan rakyat perlu menjadi pegangan calon bertanding dan ‘Yang Berhormat’ yang bakal diberikan mandat esok.

Konsep itu merangkumi, memastikan ada makanan di atas meja, bumbung di atas kepala, pendidikan terbaik untuk anak-anak serta menyediakan peluang pekerjaan atau perniagaan.

“Adalah mudah kalau nak tawan balik kerusi (untuk BN) kerana BN adalah parti lama dan parti pelbagai bangsa. Kami percaya prinsip bersatu dalam kepelbagaian. Itu yang penting. Kita mesti ada sikap toleransi, belas kasihan dan bantu membantu,” katanya.

Selain itu, penyandang kerusi Parlimen Putrajaya empat penggal berturut-turut ini turut menitipkan nasihat kepada wakil rakyat baharu supaya melaksanakan tugas dan amanah berlandaskan konsep Islam serta menerapkan elemen kekeluargaan.

“Saya yakin bahawa rakyat matang dan boleh menilai pada pilihan raya kali ini. Yang penting kita beritahu rakyat: ‘Masihkah kau ingat apa berlaku selepas PRU-14? Janji hapus hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), turun harga minyak, semua tak ditunaikan.’ Justeru, mari kita sama-sama mengundi BN untuk kestabilan dan kemakmuran,” katanya.

Pada PRU-15, Bendahari UMNO itu berdepan saingan enam penjuru iaitu daripada calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Radzi Jidin; Datuk Mohd Rosli Ramli (Parti Pejuang Tanah Air – PEJUANG); Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (Pakatan Harapan – PH) serta dua calon bebas, Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi.

Sementara itu, berbaki beberapa jam lagi sebelum tempoh kempen PRU-15 tamat, calon BN Parlimen Sepang, Anuar Basiran menzahirkan penghargaan kepada semua penduduk yang berlapang dada menerima beliau sepanjang kempen.

Calon BN Parlimen Sepang, Anuar Basiran.

Anuar mahu sokongan itu diterjemahkan kepada kertas undi esok supaya permasalahan setempat seperti banjir, perumahan kepada anak muda dan sistem jalan raya dapat diatasi.

“Sudah tentu isu banjir akan diangkat sebagai satu isu yang paling utama (jika diberi mandat) dan perlu saya laksanakan segera kerana banjir yang berlaku sebelum ini telah mengakibatkan kerugian ratusan juta ringgit di Sepang. Kita tidak mahu perkara itu berlaku lagi.

“Saya yakin dan percaya pengundi kini bijak untuk menilai mana pemimpin yang boleh bekerja dan berusaha untuk mendapatkan apa juga permohonan mereka untuk diajukan kepada pihak atasan supaya kita dapat bantu rakyat,” katanya.

Anuar ditentang tujuh pencabar membabitkan calon PN, Datuk Seri Rina Harun; Datin Che Asmah Ibrahim (PEJUANG); Raj Munni @ Aiman Athirah Sabu (PH) dan Mohd Daud Leong Abdullah mewakili Parti Utama Rakyat (PUR).

Turut bertanding, R. Nageswaran (Parti Rakyat Malaysia) serta dua calon Bebas iaitu Mohd Syahrul Amri Mat Sari dan M. Muneswaran.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari mengundi PRU-15 di seluruh negara bagi 20,853,681 pemilih biasa di 8,958 pusat mengundi dan 38,348 saluran mengundi.

Loading...
Terkini