comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Menang adalah matlamat BN – Hishammuddin Hussein

Foto: NSTP

KOTA KINABALU: Memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah matlamat utama yang ingin dicapai Barisan Nasional (BN) dan bukan untuk memenangkan individu tertentu.

Calon Ahli Parlimen Sembrong merangkap Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata demikian ketika mengulas mengenai isu kepimpinan UMNO termasuk yang digugurkan daripada senarai calon BN, baru-baru ini.

Mengulas lanjut berhubung perkara tersebut, beliau berkata terdapat banyak perkara perlu diambil kira dalam soal pemilihan calon dan UMNO harus menang sebagai satu pasukan.

“Dalam pertimbangan tiap calon itu, pelbagai perkara yang diambil kira tidak kira Presiden atau Perdana Menteri, yang kita mahu dan pastikan adalah kita mahu menang.

“Tuan punya badan sendiri yang kali ini mungkin tidak diberikan amanah atau untuk menawarkan diri sebagai calon, saya percaya mereka ini semuanya orang parti, kecewa macam mana, satu dua hari ini bolehlah.

“Tapi akhirnya bukan kita mahu menangkan individu, kita nak menangkan parti. Kalau itu pertimbangan kita semua sama ada dicalonkan atau tidak, yang penting mereka akhirnya kena rapatkan barisan dan memenangkan parti.

“Kita bukan mahu seronok sangat mahukan jawatan dan kedudukan tapi kita mahukan kestabilan. 5 November ini kita akan melalui proses penamaan calon jadi kita jangan toleh ke belakang lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bertempat di Kedai PERNAMA Markas Pemerintahan Armada Timur, hari ini.

Loading...
Terkini