Oleh Amira Suraini Che Mohamad
KANGAR: Memperkasa Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta memperkukuhkan pendidikan agama di Perlis menjadi antara tumpuan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kangar.
Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya menegaskan, pendidikan adalah pelaburan masa hadapan kepada sesebuah negara dan penting untuk dikuasai oleh generasi muda.
“TVET merupakan satu perkara pada masa hadapan di mana orang mula menilai daripada kemahiran.
“Keseimbangan antara teori dan praktikal sangat penting untuk kita mencapai kemajuan. Bukan sekadar lulus peperiksaan tetapi kita tekankan soal TVET,” katanya ketika ditemui di Kangar, petang tadi.
Beliau yang juga seorang pendakwah akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk menjadikan Perlis sebagai negeri Al-Quran.
“Saya pun ada institusi akademi Al-Quran sendiri yang saya sasarkan visinya untuk menjadikan Perlis negeri Al-Quran.
“Institusi itu kita wujudkan sejak dahulu dan kini dalam proses memperkasakan pengajian ilmu di masjid dan di tempat-tempat lain dari masa ke semasa.
Bagaimanapun, kerjasama daripada semua pihak terutama ibu bapa dan komuniti adalah penting supaya perkara itu dapat direalisasikan.
“Dengan TVET pelbagai perkara dapat dilakukan. Contohnya di negara barat sekarang Model Crowdsourcing, model ini ada pelbagai tapi salah satunya dari sudut inovasi.
“Ini antara perkara yang kami bincang di peringkat pusat dengan MRANTI (Malaysia Research Accelerator for Technology and Innovation), perbincangan yang dilakukan beberapa kali untuk jadikan Malaysia sebagai hub inovasi.
“Jadi sekiranya saya ada di Perlis, saya boleh meneruskan agenda itu InsyaALLAH mudah-mudahan.”