Tumpuan :
Politik

PRU-15: Klinik Komuniti Saujana Utama akan ditambah baik

Calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin bertemu generasi asal Kampung Melayu Subang dan anak muda bagi mendengar masalah yang dihadapi penduduk. – Foto: NSTP

SUNGAI BULOH: Klinik Komuniti Saujana Utama dekat sini akan ditambah baik termasuk dari segi ruang dan khidmat pakar kesihatan keluarga.

Calon Barisan Nasional bagi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin berkata, terdapat keperluan untuk menyediakan perkhidmatan berkenaan selain klinik yang lebih besar kerana ruang yang ada terhad.

Katanya, walaupun ada klinik swasta, masyarakat setempat memilih untuk ke klinik Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Di Klinik Komuniti Saujana Utama pagi ini. Keadaan sesak kerana pelanggan turut datang untuk mendapatkan khidmat ibu dan anak, walaupun Klinik Komuniti biasanya tidak sediakan servis ini.

Buat masa ini, ada pakar kesihatan keluarga (FMS) dari Klinik Kesihatan Ijok datang setiap dua minggu ke sini bagi tujuan ini. Saya akan pastikan Klinik Komuniti Saujana Utama ini ditambah baik antaranya dari segi ruang dan khidmat pakar kesihatan keluarga nanti, insya-Allah,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, kemudahan itu ditubuhkan sebagai Klinik 1Malaysia suatu ketika dulu dan dijenamakan semula sebagai Klinik Komuniti.

Katanya, penubuhannya pada asalnya bukan untuk menyediakan perkhidmatan ibu dan anak tetapi ia menyediakan perkhidmatan itu.

“Ini jelas menunjukkan bahawa terdapat keperluan untuk menyediakan perkhidmatan ini di Saujana Utama dan klinik yang lebih besar kerana rang yang ada sekarang amatlah terhad. Walaupun ada klinik swasta, masyarakat setempat memilih untuk ke klinik Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Jadi ini mestilah dijadikan sebagai satu daripada agenda dan jika saya dipilih nanti dan juga, jika dilantik menjadi Menteri Kesihatan, sudah pasti saya akan meluaskan perkhidmatan Klinik Komuniti ini kepada perkhidmatan Klinik Kesihatan bagi memenuhi keperluan penduduk di sini.

“Bila perkhidmatan diperluaskan, ada ruang yang besar dan bukan dioperasikan sebagai Klinik Komuniti semata-mata, maka kita akan dapat menempatkan Pakar Kesihatan Keluarga (FMS).

Sekarang ini Pakar Kesihatan Keluarga terpaksa datang dari Klinik Kesihatan ijok dan tidak berada di sini sepenuh masa. Jadi kita mahu seorang FMS yang berada di sini sepenuh masa,” katanya.

Calon-calon di P107 Sungai Buloh
Loading...
Terkini