Oleh Siti Khadijah Jaafar
BERA: Kerajaan tidak pernah meminggirkan kebajikan masyarakat India negara ini dalam menikmati manfaat arus pembangunan seperti dikecapi kaum lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, komitmen itu juga dizahirkan kerajaan menerusi pembentangan bajet 2023, 7 Oktober lalu dengan pelbagai inisiatif dan bantuan kepada golongan itu.
Bantuan itu termasuk peruntukan RM50 juta bagi memperkasakan pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, SJKT.
Juga peruntukan RM100 juta bagi pembangunan usahawan komuniti India di bawah Unit Transformasi Masyarakat India, MITRA, Jabatan Perdana Menteri, JPM.
RM25 juta pula bagi Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India SPUMI di bawah Kementerian Usahawan dan Koperasi.
“Kerajaan dah laksanakan pelbagai latihan beri manfaat 42,544 pelatih india hingga Ogos 2022 nilai geran RM 77 juta. Bagi tujuan penempatan pekerjaan 68,996 komuniti india dibantu hingga september 2022 dgn pelbagai bidang kemahiran serta industri.
“Itu juga yang dibuat kerajaan, Bera kita tak pernah lupa saya tahu tiap kali pilihan raya masyarakat india sentiasa beri sokongan padu kepada kita sebab itu saya tak pernah tinggalkan masyarakat India dalam peruntukan yang saya beri,” katanya.
Jelas Perdana Menteri, semangat Keluarga Malaysia begitu kuat dan beliau yakin dengan sokongan komuniti india kepada BN.
Datuk Seri Ismail Sabri berucap sempena Majlis Ngeteh bersama komuniti India Parlimen Bera siang tadi.
Dalam majlis itu beliau turut menyantuni hampir 800 pengundi India yang hadir serta menyampaikan bantuan Deepavali.