Tumpuan :
Politik

PRU-15: Kempen dua hari terakhir, BN tumpu pengundi `putih’

Ahmad bersama-sama menyertai konvoi bersama anak muda, di Lubok Sipat, Benut, hari ini. -Foto: NSTP

PONTIAN: UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan menumpukan kepada pengundi putih gabungan itu terutama dalam memastikan golongan berkenaan keluar mengundi di kawasan masing-masing, Sabtu ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata langkah menumpukan kepada golongan pengundi putih BN itu adalah fokus utama gabungan berkenaan bagi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, fokus BN dengan kempen berbaki dua hari terakhir ini adalah pengundi putih BN.

“Kita nak pengundi putih yang menyokong BN supaya keluar mengundi beramai-ramai, Sabtu ini. Ini amat penting sekali. Kita juga mahu memastikan pengundi putih luar diharap balik mengundi.

“Pengundi putih BN sudah dikenal pasti dan ia cukup untuk memberi kita kemenangan di satu-satu tempat. Kita tak mahu mendabik bahawa kita terlalu ke depan, tapi cukup untuk kita menang PRU15 ini dengan pengundi putih.

“Selepas itu, barulah kita berbincang dengan pihak lain termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk kita menambah lagi kerusi majoriti bagi menubuhkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas konvoi anak muda BN di Kampung Lubok Sipat, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga calon BN bagi Parlimen Pontian menolak dakwaan yang menyatakan akar umbi BN kini goyah dan lemah semangat apabila pelbagai kajian lapangan mendakwa BN kini kehilangan momentum dalam kalangan pengundi.

Ahmad berkata, jentera parti sudah diingatkan supaya tidak mengendahkan apa jua kajian lapangan dan infografik yang mendakwa sokongan rakyat kepada BN semakin merosot.

“Kita dah ingatkan jentera BN supaya abaikan kajian lapangan yang mendakwa sokongan pada BN merudum.

“Itu semua ‘psywar’ jahat. Jentera kita tak terganggu kerana faham taktik mereka menggunakan perang psikologi di saat-saat genting ini.

“Jangan kita terganggu dengan infografik dan kajian yang sengaja disebarkan sebagai perang psikologi pihak lain. Ia termasuk Kabinet palsu dan kajian sentimen. Ia hanyalah perang psikologi yang tiada kebenaran,” katanya. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini