![](https://media.buletintv3.my/2022/11/6QOvU3ZL-PP-CMS-8.jpg)
SUNGAI BULOH: Manifesto oleh calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin akan melihat kepada segenap aspek terutamanya dalam isu perubatan.
Khairy berkata, isu yang membelenggu graduan perubatan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Sungai Buloh juga tidak terkecuali untuk dimasukkan dalam manifesto berkenaan.
“Sudah pasti dalam manifesto yang kita lancarkan nanti akan mengambil kira soal graduan UiTM Sungai Buloh kerana pusat pengajian ini turut mempunyai Fakulti Perubatan dan Pergigian.
“Dan ia terkait secara tidak langsung dengan jawatan saya sebagai Menteri Kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Peranti Siswa Keluarga Malaysia di UiTM Cawangan Selangor Kampus Sungai Buloh, di sini hari ini.
Terdahulu, Khairy dalam ucapannya turut menyentuh mengenai isu pegawai perubatan kontrak yang membelenggu negara ini sejak ia dilaksanakan pada 2017.
“Masa saya mula-mula dilantik di Kementerian Kesihatan (KKM), isu utama yang dihadapi oleh kementerian adalah sumber manusia iaitu doktor kontrak.
“Sepanjang tempoh pelaksanaan doktor kontrak itu tiada satu pelantikan tetap tambahan dibuat, hanya bila ada kekosongan yang bersara baharu diganti.
“Saya kata perkara ini tidak boleh berlaku kerana sekiranya dibiarkan kita jangka pada 2030 kita akan kekurangan 7,000 doktor pakar dan kalau kita tidak perjuangkan ini mereka (isu doktor kontrak) akan meninggalkan KKM untuk bersama pihak swasta,” katanya.
Khairy berkata, selepas perbincangannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk pertama kalinya selepas dilaksanakan, beliau berjaya menambah sebanyak 4,000 pegawai perubatan tetap dalam kalangan doktor, pegawai pergigian dan pegawai farmasi.
“Namun saya tidak berpuas hati kerana yang memohon lebih 8,000 namun yang dapat hanya 4,000 jadi saya meminta supaya Kementerian Kewangan untuk memperuntukkan setiap tahun sebanyak 1,500 pegawai perubatan dan 500 pakar akan dilantik secara tetap.
“Saya tidak mahu perkara ini dibuat secara ‘one-off’ sahaja supaya orang tak bising, saya minta ia dibuat setiap tahun,” katanya.
Dalam pada itu, Khairy berkata pihaknya juga akan mengurangkan masalah ‘tembok yang terlalu tebal’ antara KKM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sehingga membantutkan operasi sektor kesihatan negara.
“Betul KKM dan KPT ada bekerjasama, cuma kadang-kadang ada tembok yang terlalu tinggi dan tebal.
“Contohnya ada hospital yang sebelah menyebelah dengan pusat perubatan Institut Pengajian Tinggi (IPT), di hospital tu kadang-kadang penuh, tak cukup katil tapi tak ada kerjasama dengan pusat perubatan IPT di sebelah.
“Tak ada tadbir urus, (kerana timbul isu ) struktur lain, siapa yang akan bertanggungjawab, siapa yang akan bayar (dan sebenarnya) semua isu itu kita boleh selesaikan sebab kita semua kerajaan.
“Kerana yang paling penting ialah kita nak bagi perkhidmatan terbaik kepada pesakit yang datang ke hospital,”katanya.
Mengulas lanjut, Khairy berkata sekiranya diberi peluang untuk terus berada di dalam KKM, beliau akan melindungi penjagaan kesihatan di negara ini.
“Bukan semua orang dapat pergi ke pusat kesihatan swasta, sebanyak 70 peratus kemasukan adalah di pusat kesihatan awam dan cuma 30 peratus kemasukan di pusat perubatan swasta.
“Tetapi kini semakin ramai yang pergi ke hospital swasta sebab tak boleh nak tunggu untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan. Masa yang diambil untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan terlampau lama,” katanya.