TAMBUN: UMNO Bahagian Tambun meneliti kemungkinan menggunakan khidmat pempengaruh bagi meraih sokongan terhadap calon Barisan Nasional (BN).
Ia berikutan ‘kuasa’ media sosial yang mampu ‘mempengaruhi’ fikiran anak muda berusia 18 tahun ke atas untuk mengundi.
Calon BN bagi kerusi Parlimen Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah, mengakui terdapat sisi negatif bagi ‘strategi’ platform maya kerana terdapat pihak menyalahgunakan media sosial dengan menyebarkan berita tidak tepat.
Bagaimanapun, beliau percaya jika media sosial digunakan sebaik mungkin, ia boleh menjadi ‘senjata’ ampuh untuk menarik minta pengundi memberi sokongan membantu calon parti politik tertentu.
“Ya, ya…Insya-Allah boleh guna khidmat pempengaruh,” katanya selepas sesi walkabout di Pasar Chemor, di sini pagi tadi.
Beliau mengulas kemungkinan pempengaruh media sosial digunakan untuk mempengaruhi undi orang muda pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Turut hadir, calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, Datuk Azizul Kama Abd Aziz.
Sebagai calon bukan dalam kalangan orang muda, Aminuddin yang kini menginjak usia 59 tahun berkata, seseorang calon tidak semestinya dipilih dalam kalangan golongan itu, sebaliknya perlu peka dan cakna berhubung kehendak serta aspirasi dimahukan orang muda.
Justeru, amat penting untuk memanfaatkan medium dalam talian khususnya media sosial untuk menembusi golongan sasar iaitu orang muda.
“Platform media sosial membolehkan kita mendekati golongan belia kerana mereka ini kali pertama mengundi.
“Saya perlu mengetahui aspirasi orang muda, bagaimana mahu membantu menyelesaikan perkara yang mengongkong mereka, termasuk apa yang dimahukan golongan itu,” katanya.
Selain itu, Ketua UMNO Bahagian Tambun itu berkata ‘strategi’ konvensional dengan turun padang mendekati pengundi juga masih perlu diteruskan.
Dengan pendekatan seperti itu, beliau berkata, ia umpama cara seseorang calon memperkenalkan diri kepada rakyat.
“Kempen ini macam kita memperkenalkan diri saja, apabila kita bersemuka dengan pengundi. Kita tidak melakukan kempen yang provokatif, hanya kempen yang sihat,” katanya.
Sementara itu, seorang ahli jentera UMNO Bahagian Tambun yang enggan dikenali berkata, untuk mempengaruhi pengundi muda, pihaknya cuba mendekati ibu bapa atau waris mereka supaya ‘memujuk’ anak mengundi BN.
Katanya, pendekatan itu berkesan kepada pengundi muda khususnya yang kali pertama mengundi supaya mencontohi ibu bapa atau waris mereka yang menyokong BN sejak dulu. – BERITA HARIAN