Oleh Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan buat kali keempat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Bukan sahaja Guan Eng, anak mendiang Karpal Singh, Ramkarpal Singh juga akan mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gelugor bagi penggal kedua.
Antara yang mengekalkan kerusi masing-masing termasuklah RSN Rayer di Parlimen Jelutong dan Steven Sim di Bukit Mertajam.
Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dalam Konvoi Harapan di Persiaran Karpal Singh, di sini, pagi tadi.
Menurut Anthony Loke barisan calon yang dimuktamadkan ini diterima menerusi cadangan DAP Pulau Pinang.
“Saya berharap tiada masalah yang akan timbul berkenaan pemilihan calon kerana pimpinan DAP Kebangsaan telah bersetuju sebulat suara dengan cadangan DAP Negeri,” katanya.
Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, berharap DAP akan mengekalkan rekod menyapu bersih kerusi di Pulau Mutiara.
“Kita memberikan pilihan yang terbaik kepada pengundi Pulau Pinang. Yang berpengalaman luas, yang dinaikkan pangkat dan muka baharu. Dengan rekod perkhidmatan cemerlang, saya berharap DAP dapat mengekalkan kesemua 7 kerusi yang dimenangi dalam PRU-14,” katanya.
Pulau Pinang mempunyai 13 kerusi Parlimen di mana DAP bertanding di 7 kerusi, PKR 4, AMANAH dan MUDA masing-masing 1 kerusi.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang tidak dibubarkan selepas Pakatan Harapan (PH)memutuskan untuk melengkapkan penggal pada tahun hadapan.