Tumpuan :
Politik

PRU-15: GRS umum calon 13 kerusi Parlimen di Sabah, BN umum 11

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah 11; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 13; itu pembahagian kerusi yang sudah dimuktamadkan dalam Majlis Pengumuman Calon BN-GRS dan penyampaian watikah pencalonan Pilihan Raya Umum KE-15 (PRU-15) di Kota Kinabalu petang tadi.

Perkara itu diumumkan bersama Ketua Menterinya yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Timbalannya yang juga Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin. Pun begitu, satu lagi kerusi iaitu P.183 Beluran belum diumumkan.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan membuat penampilan semula dicalonkan di Parlimen Kota Belud yang pernah dimenanginya selama dua penggal bermula 2008 hingga 2017 dan pernah tewas kepada calon Parti WARISAN, Datuk Mohd Aziz Jamman, di kerusi Parlimen Sepanggar pada PRU-14.

Antara yang mencuri tumpuan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, P.187 Kinabatangan; Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin, P.176 Kimanis; dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Jospeh Kurup, P.182 Pensiangan masing-masing mengekalkan kerusi yang disandang. Manakala Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Yamani Hafez Musa penyandang kerusi P.178 Sipitang tidak tersenarai dalam pencalonan. Bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.66 Bugaya, BN meletakkan calonnya iaitu Timbalan Ketua Bahagian UMNO Semporna, Abd Aziz Mohd Ibno.

Di pihak GRS seperti yang dijangka, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus J. Ongkili mengekalkan kerusi yang disandangnya iaitu P.168 Kota Marudu. Manakala Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin, P.176 Ranau dan Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan, P.180 Keningau juga mengekalkan kerusi masing-masing.

Bertemakan “Kestabilan dan Kemakmuran Untuk Sabah” Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah terus menasihati kedua-parti agar menyokong dan tidak mensabotaj antara satu sama lain demi kestabilan Sabah.

“Kali ini kita bentuk kerajaan Persekutuan yang stabil dan memahami aspirasi rakyat Sabah,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Datuk Seri Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah dalam pada itu berkata, kutipan hasil negeri lebih RM5 bilion tahun lalu bukti kerja keras GRS-BN selama dua tahun berjaya membawa Sabah ke arah yang lebih cemerlang.

“Tahun ini kutipan hasil dijangka meningkat sekurang-kurangnya RM6 bilion seterusnya dapat membawa Sabah keluar dari kemerosotan,”

Sementara itu, Datuk Seri Bung Moktar ketika ditemui selepas majlis itu berkata, satu lagi kerusi P.183 Beluran masih dalam perbincangan dan belum dimuktamadkan. Untuk rekod penyandang kerusi Beluran ketika ini, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

Terdahulu kedua-dua pemimpin parti BN-GRS, Datuk Seri Bung Moktar dan Datuk Seri Hajiji telah memberi jaminan tidak akan berlaku pertembungan antara parti dalam BN dengan GRS PADA PRU-15.

BN Sabah-GRS membentuk kerjasama untuk berdepan lawan pada PRU-15 bagi menjaga kestabilan kerajaan negeri yang dibentuk dengan kerjasama kedua-dua gabungan parti berkenaan selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) pada September 2020.

Menerusi kerjasama itu, persetujuan agihan keseluruhan 25 kerusi Parlimen di Sabah disifatkan kedua-dua parti sebagai rundingan menang-menang untuk ditandingi parti komponen masing-masing.

BN Sabah merangkumi UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), manakala GRS menggabungkan BERSATU Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Loading...
Terkini