SIBU: DAP mengekalkan penyandang Parlimen Sibu dan Lanang, Oscar Ling dan Alice Lau untuk mempertahankan dua kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November depan.
Pencalonan mereka diumumkan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen di Sibu, malam tadi.
Turut diumumkan pada majlis makan malam bagi mengutip dana untuk DAP Sibu itu, calon muka baharu bagi kerusi Parlimen Bintulu, Tony Chiew.
Oscar yang juga Naib Pengerusi DAP Sarawak adalah penyandang kerusi Parlimen Sibu selama dua penggal.
Pada PRU-14, beliau menang dengan majoriti 11,422 undi menewaskan calon calon BN, Datuk Andrew BN Wong Kee Yew, calon PEACE, Tiew Yen Houng dan calon STAR, Tiong Ing Tung.
Alice yang juga Timbalan Pengerusi DAP Sarawak turut menyandang kerusi Parlimen Lanang selama dua penggal.
Pada PRU-14 beliau menang dengan majoriti 14,546 undi menewaskan calon BN Kong Sien Chiu dan Priscilla Lau (PEACE).
Ssmentara itu, Tony Chiew diumumkan untuk bertanding di Bintulu bagi merampas kerusi itu daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang disandang Datuk Seri Tiong King Sing.
Jumaat lalu, Chieng Jen mengumumkan, DAP akan meletakkan lapan calon di Sarawak pada PRU-15.
Lima lagi calon untuk Parlimen Mas Gading, Bandar Kuching, Stampin, Sarikei dan Serian akan diumumkan pada majlis di Kuching, malam ini. – BERITA HARIAN