Tumpuan :
Politik

PRU-15 : DAP Tampilkan Ramai Calon Melayu

FOTO : NSTP

PADANG BESAR : DAP akan menampilkan lebih ramai calon Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang bagi memastikan undi terutama di kawasan majoriti Melayu dapat diraih.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook, berkata bagaimanapun pihaknya masih belum menentukan peratusan calon Melayu daripada parti itu yang akan diletakkan sebagai calon PRU-15 kerana masih pada peringkat rundingan bersama parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) bagi menentukan jumlah kerusi bakal ditandingi nanti.

“Kita melihat banyak potensi wakil DAP daripada kaum Melayu yang boleh diketengahkan pada PRU-15 nanti seperti beberapa pemimpin Melayu di Kedah, Perak, Pahang, Johor dan Selangor yang mampu melakar kejayaan.

“Pada masa sama, kita harus ingat DAP adalah parti berbilang kaum, jadi tidak semestinya hanya calon berbangsa Cina mesti berkhidmat di kawasan majoriti Cina saja kerana pemimpin Cina dan India juga boleh berkhidmat di kawasan Melayu.

“Ini juga sama kepada pemimpin Melayu daripada DAP yang mereka juga boleh berkhidmat di kawasan bukan Melayu, kita mahu lahirkan generasi baharu dalam DAP supaya pemikiran politik kita melambangkan semangat rakyat Malaysia,” katanya selepas merasmikan Pejabat DAP Perlis yang baharu di Jalan Besar, di sini, hari ini.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, beliau juga akan bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu di Parlimen Seremban.

“Saya sendiri turut bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu sebab Parlimen Seremban mempunyai 53 peratus pengundi berbangsa Melayu, jadi di kawasan saya ini tidak semestinya perlu menghantar calon Melayu untuk bertanding,” katanya.

DAP mempunyai beberapa wakil rakyat Melayu termasuk Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari; ADUN Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari; ADUN Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali; ADUN Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusuf; ADUN Ketari, Young Syefura Othman; ADUN Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid dan ADUN Damansara, Jamaliah Jamaluddin.

Terdahulu, pada majlis sama juga, Loke turut merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Negeri Perlis Ke-5 yang turut dihadiri 58 perwakilan DAP dari seluruh negeri.

Turut hadir, Pengerusi DAP Perlis, Teh Seng Chuan dan Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini