BERA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan dakwaan kononnya anggota tentera yang mengundi di Parlimen Bera dibayar RM300 sebagai fitnah dan merendahkan martabat anggota keselamatan.
Jelas beliau dakwaan dibuat Pengerusi Pakatan Harapan PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sengaja untuk menimbulkan persepsi negatif masyarakat kepada Barisan Nasional (BN), khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November ini.
Beliau berkata, Anwar perlu sedar dakwaan itu bersifat jahat dan perlu memohon maaf kepada anggota tentera.
“Ini tuduhan jahat dan jangan menghina anggota tentera. Malah, dia perlu tarik balik tuduhan kerana menghina anggota tentera seluruh negara.
“Tiada keistimewaan yang diberikan untuk anggota tentera mengundi sehingga diberikan imbuhan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Ngeteh Santai Orang Kita di Kampung Orang Asli Kampung Bongkok di sini, hari ini.
Presiden PKR itu sebelum ini mendakwa ada anggota tentera, khususnya dalam kawasan Parlimen Bera sudah mengundi untuk PRU kali ini mendapat bayaran.
Ketika berucap di majlis di Terengganu, Anwar mendakwa anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian.
Anwar yang juga calon Parlimen Tambun mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat perkara itu..
Seramai anggota tentera 113,000 termasuk pasangan mengundi awal di 189 pusat mengundi 15 November ini. – BERITA HARIAN