comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Calon dakwa disekat berkempen

Mansor Zailani mewakili calon PN Iskandar Puteri, Jashen Tan membuat laporan polis di IPD JBU, jam 11.17 pagi tadi.

Oleh Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Iskandar Puteri, Jashen Tan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, kerana mendakwa disekat daripada berkempen di kawasannya.

Laporan polis itu dibuat wakilnya Mansor Zailani, di IPD berkenaan jam 11.17 pagi tadi.

Laporan itu dibuat selepas Janshen mendakwa dia dan jenteranya disekat untuk melakukan ‘walkabout’ di tiga lokasi pasar tani dan pasar malam di Taman Universiti dan Taman Impian Emas, dekat Skudai hari ini hingga Rabu depan.

Katanya, permit untuk berkempen di ketiga-tiga lokasi berkenaan tidak dapat dikeluarkan polis IPD berkenaan, kerana dikatakan bertindih dengan kempen parti lawan.

“Setahu saya hanya ceramah dan ceramah bergerak sahaja yang perlu ada permit manakala ‘walkabout’ tidak perlu.

“Namun saya dimaklumkan polis IPD JBU bahawa perlu ada permit untuk lakukan ‘walkabout’ dan bila kita mohon untuk hari ini esok dan Rabu depan, polis kata tak boleh sebab bertembung dengan kempen jentera parti Barisan Nasional,” katanya di luar perkarangan IPD JBU pagi tadi.

Janshen berkata, dia tidak menghadapi masalah ketika berkempen di tempat lain, meskipun bertembung dengan kempen parti lawan di lokasi yang sama sebelum ini.

Justeru beliau berharap isu berkenaan dapat diselesaikan segera agar bagi membolehkannya berkempen tanpa halangan berbaki sembilan hari lagi tempoh berkempen.

Loading...
Terkini