comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: BN Yakin Rampas Kembali Kerusi Tangga Batu

MELAKA: Sokongan pengundi di Tangga Batu yang dilihat cenderung kepada Barisan Nasional (BN) ketika ini membolehkan parti itu merampas kembali kerusi Parlimen berkenaan daripada pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Pemuda Umno bahagian terbabit, Datuk Rais Yasin, berkata dengan suasana politik yang berubah, termasuk kegagalan Pakatan Harapan (PH) menyelesaikan banyak isu membelenggu rakyat menyebabkan majoriti pengundi mengubah pendirian untuk menyokong BN.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, berkata isu seperti masalah infrastruktur serta peningkatan kos sara hidup yang gagal disuarakan bekas Ahli Parlimen Tangga Batu dari PKR itu ke peringkat tertinggi, menyebabkan kehidupan rakyat semakin sulit.

“Dalam Parlimen Tangga Batu ini, tiga daripada empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dan sudah pasti segala bentuk pembangunan perlu dilakukan seiring oleh Adun dan Ahli Parlimen.

“Agak janggal jika Adun hendak laksanakan sesuatu projek pembangunan dengan menggunakan peruntukan yang kecil, tetapi Ahli Parlimen yang mempunyai jumlah peruntukan banyak tidak campur tangan.

“Justeru, pengundi di Parlimen Tangga Batu perlu mengubah keadaan itu dengan memastikan calon BN menang pada PRU-15 ini bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dilakukan secara seiring demi kebaikan bersama,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Program Isi Minyak Motosikal Percuma DUN Paya Rumput di Taman Rambai Utama, Bukit Rambai di sini hari ini.

Program terbabit turut dilakukan serentak di seluruh negeri membabitkan 28 kawasan DUN.

Sementara itu, Rais yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut menyangkal dakwaan kononnya program isi minyak motosikal percuma itu sebagai gula-gula BN untuk memancing undi.

Katanya, dakwaan berkenaan adalah tidak berasas kerana BN bersama kerajaan Persekutuan sebelum ini banyak melaksanakan program berbentuk kebajikan termasuk Jualan Murah Keluarga Malaysia serta jualan prihatin.

“Dakwaan ini (gula-gula pilihan raya) tidak betul. BN sebenarnya melaksanakan aktiviti kebajikan rakyat ini sudah lama dan memang menjadi perjuangan parti untuk memastikan keperluan rakyat sentiasa diberikan perhatian,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini