Oleh Mahdi AB Manaf
ALOR GAJAH: Barisan Nasional (BN) mempergiatkan gerak kerjanya bagi memperincikan manifesto parti itu kepada pengundi menerusi pelbagai inisiatif di peringkat akar umbi termasuk melalui kempen calon-calonnya.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata semua Biro Penerangan parti itu di peringkat bahagian bersama jentera Pusat Daerah Mengundi telah digerakkan bagi menyampaikan misi serta visi BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.
“Antara yang kita perjelaskan termasuk perbezaan serta impak manifesto berkenaan kepada kehidupan rakyat melalui pemberian bantuan pendapatan secara automatik, pendidikan percuma kepada keluarga B40 dan pelbagai inisiatif lain.”
Jelasnya, ia dilihat strategi terbaik ketika ini berbanding tindakan sesetengah pihak yang memilih untuk berkempen dengan cara memburukkan pihak lain selain menghasut pengundi dan sesama sendiri.
Calon BN bagi Parlimen Alor Gajah itu juga berkata manifesto yang diketengahkan BN juga adalah satu tawaran baharu yang segar daripada parti itu kepada rakyat Malaysia.
Justeru, pengundi perlu memahami usaha serta tawaran BN itu sebagai satu aku janji parti yang akan dilaksanakan sekiranya diberi mandat pada PRU kali ini.