MACHANG: Barisan Nasional (BN) Kelantan mensasarkan mampu menang lebih sembilan kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, ia berdasarkan sokongan rakyat terutama pengundi muda dan pengundi luar terhadap BN sangat memberansangkan.
“Saya pernah kata kita sasarkan sembilan kerusi tapi mungkin boleh menang lebih daripada itu sebab sambutan daripada pengundi di negeri ini sangat memberangsangkan.
“Oleh itu, tidak mustahil BN Kelantan mampu tawan semula negeri ini pada PRU15 berdasarkan rekod pencapaian selain gelombang rakyat yang mahu menyokong BN,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Jentera BN Kelantan PRU15, hari ini.
Pada masa sama, Jazlan yang juga penyandang Parlimen Machang turut memaklumkan, pihaknya tidak tergugat dengan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang menggunakan lambang PAS.
“Saya juga tidak nampak ada kelebihan apabila BERSATU menggunakan logo PAS kerana pengundi tahu mereka daripada parti mana sebenarnya.
“Rakyat tidak akan terpedaya dengan taktik berkenaan. Bagaimana pengundi mahu menyokong sedangkan mereka sendiri tidak yakin dengan lambang parti mereka.
“Lebih baik mereka umum keluar BERSATU dan menyertai PAS. Namun saya pasti rakyat dapat menilai,” katanya.