comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Bertanding di kubu kuat PH, calon BN Shah Alam sahut cabaran

Calon BN Parlimen Shah Alam, Hizatul Isham Abdul Jalil

SHAH ALAM: Calon Barisan Nasional (BN), Hizatul Isham Abdul Jalil bagi kerusi Parlimen Shah Alam (P.108) nekad berjuang merampas kerusi Parlimen di kubu kuat Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini.

“Saya mengambil peluang ini sebagai cabaran sebab pada saya kita tidak boleh bertanding di tempat kita selesa sahaja.

“Kita juga kena pergi menawan kubu kuat mereka ..Kali ini saya diberikan tanggungjawab oleh parti untuk turun melawan antara kubu paling kuat PH..jadi saya ambil cabaran itu dan berjuang sampai kita menang.

“Saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangkan kawasan ini supaya kita boleh berjuang untuk rakyat di sini..menukar dasar kepada yang lebih baik untuk rakyat di Shah Alam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai proses Penamaan Calon Parlimen Shah Alam di Dewan Besar Teratai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 19 hari ini

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, isu penduduk B40 juga infrastruktur di tengah Bandaraya Shah Alam antara fokus utama dan sudah mengenalpasti kawasan-kawasan yang perlu diberikan perhatian termasuk Padang Jawa.

“Di situ juga ramai B40, bukan sahaja masalah ekonomi, masalah jalan berlopak, masalah air juga peparitan. Apa yang boleh diselesaikan itu kita fokus dahulu.

“Fokus saya untuk mencari penyelesaian kepada masalah, bukan mencari siapa bersalah. Kempen saya, kempen positif.

“Kita beritahu rakyat apa yang kita hendak buat bukan kempen negatif menyalahkan pihak lain, skandal, menuduh pihak lain.

Jika mereka (parti lawan) tuduh, kita jawablah,” katanya.

Selain itu katanya, isu pengangguran, kos perumahan yang semakin meningkat serta tidak seimbang dengan kemampuan sebahagian penduduk Shah Alam juga menjadi perhatian beliau.

Katanya, selepas pandemik COVID-19, ramai golongan muda hilang kerja dengan kadar pengangguran mencapai 14 peratus.

“Sebelum pandemik COVID-19 sekitar 300,000 hingga 400,000 yang tiada kerja, sekarang mencecah lebih 700,000 orang sebab banyak kedai tutup semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagi selesaikan masalah ini, kita kena tolong PKS, cari kerja kepada mereka supaya mereka dapat ambil anak muda bekerja dengannya,” katanya.

Beliau juga akan perjuangkan kecekapan sistem pentadbiran kerajaan agar tidak berlaku gejala rasuah.

Loading...
Terkini