JOHOR BAHRU: Keadaan terkini di pusat gerakan Barisan Nasional (BN) di Bangunan UMNO Johor, di Jalan Yahya Awal, di sini, agak lengang.
Berbanding suasana padat dan dipenuhi penyokong parti ketika keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu, tidak ramai penyokong parti yang hadir untuk melihat keputusan terkini.
Hanya Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Menteri Besar dan Setiausaha UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali kelihatan memasuki pusat gerakan bagi meninjau keputusan terkini Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Difahamkan, Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad kini berada di Ibu Pejabat UMNO di Kuala Lumpur.
Petugas media yang berada di Pejabat UMNO Johor sejak jam 7 malam masih menunggu keputusan rasmi dikeluarkan selepas diminta menunggu di luar pusat gerakan BN Johor.
Ia berikutan terdapat perbincangan tertutup antara Onn dan petugas parti yang sedang berlangsung.- BERITA HARIAN