comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: 70 bekas petugas PN sertai UMNO

Calon BN Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid menerima borang keahlian dari 70 individu malam tadi.

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seramai 70 bekas petugas parti Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu, nekad menyertai UMNO dan Barisan Nasional (BN) malam tadi.

Petugas berusia antara 18 hingga 37 tahun yang berasal dari Kampung Paya Rumput, Kampung Lekok dan Taman Seri Aman di Masjid Tanah, Melaka itu bertindak sedemikian selepas kecewa dengan pengurusan parti berkenaan yang tidak sistematik.

Borang keahlian parti diserahkan kepada Ketua Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid yang juga bakal calon BN, bagi Parlimen kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU 15), dalam satu majlis ringkas di Masjid Tanah.

Turut menyaksikan penyerahan borang berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Air Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Abdul Hakim ketika ditemui berkata, penyertaan bekas petugas yang terdiri daripada golongan muda terbabit untuk menjadi ahli UMNO adalah atas kerelaan sendiri.

Katanya, pengalaman pernah berkhidmat dengan PN menjadi faktor utama mereka menyertai UMNO.

Penyertaan ahli baharu itu juga membuktikan UMNO dan BN semakin diterima golongan muda.

“Sudah pasti dia memberikan satu keyakinan yang sangat tinggi kepada saya dan parti kerana dengan adanya anak muda yang ingin bersama UMNO membuktikan golongan muda kembali kepada UMNO.

“Ia juga menjadi petanda dan kelebihan kepada UMNO menjelang PRU-15 ini,” katanya pada majlis berkenaan.

Seorang pengusaha bengkel kenderaan, Muhammad Razi Mohd Yusof, 37, berkata, pengalaman bertugas dengan PN, membolehkan dia membezakan kelebihan yang dimiliki BN dan parti berkenaan.

Meskipun tidak pernah menjadi ahli PN katanya, pengalaman bekerja dengan ahli parti itu sudah cukup baginya untuk menjauhkan diri dengan parti berkenaan.

“Dulu memang saya bersama PN tetapi selepas saya bertugas dengan parti itu saya melihat pelbagai kelemahan yang wujud.

“Kini saya kembali kepada UMNO kerana hanya UMNO satu-satunya parti yang boleh memakmur dan menstabilkan negara,” katanya.

Seorang kakitangan swasta, Ramli Saunan, 35, memilih UMNO ekoran pemilihan pucuk pimpinan yang tepat terhadap bakal calon BN yang bertanding di Parlimen Masjid Tanah.

“Kami memilih UMNO kerana calon yang diketengahkan memang berkelayakan dan merupakan anak tempatan.

“Kami akan memberi sokongan padu kepada calon BN yang bakal bertanding di Masjid Tanah,” jelasnya.

Loading...
Terkini