SHAH ALAM: Sejumlah 2,931 kempen serta ceramah dengan permit diadakan oleh parti-parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sejak 5 November hingga semalam.
Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata bagi memastikan setiap kempen dan ceramah dijalankan mematuhi undang-undang ditetapkan, pihaknya juga membuat pemantauan di setiap kempen dan ceramah yang diadakan.
“Pada 15 November (semalam), sebanyak 70 ceramah dan 105 kempen dengan permit diadakan oleh parti-parti yang bertanding.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kempen dan ceramah yang diadakan bagi tempoh 5 November hingga semalam adalah sebanyak 2,931,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Arjunaidi berkata, calon yang bertanding mahupun masyarakat dinasihatkan agar sentiasa menghormati dan mematuhi lunas undang-undang yang ditetapkan sepanjang PRU-15 ini berlangsung.
Tegasnya, calon dan masyarakat diminta untuk mengelak membuat sebarang provokasi dan perkara yang boleh menimbulkan insiden yang tidak diingini dan boleh menggugat keselamatan serta ketenteraman awam.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 253 laporan polis berkaitan PRU-15 diterima pihaknya setakat semalam.
“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 19 kertas siasatan sudah dibuka dengan tangkapan keseluruhan lima orang individu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata seramai 16,799 orang warga Polis Selangor menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di sebanyak 51 tempat mengundi yang menempatkan 93 saluran di seluruh negeri ini semalam.-HARIAN METRO