Tumpuan :
Politik

PRU-15: 15 tahun ketinggalan, Sungai Petani perlukan perubahan drastik – Shahanim

Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin

SUNGAI PETANI: Pembangunan infrastruktur di Sungai Petani disifatkan ketinggalan 15 tahun ke belakang di bawah tadbir urus Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Justeru, bagi calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff, PRU-15 wajar menjadi medan buat penduduk di sini memilih pemimpin yang mampu membawa perubahan secara drastik.

“Saya berharap orang Sungai Petani lebih bijak memilih calon yang mampu memberikan khidmat untuk parlimen ini demi sebuah perubahan drastik,” katanya kepada Buletin TV3.

Sekiranya diberikan mandat dalam PRU kali ini, beliau berikrar untuk menjaga kebajikan rakyat terutamanya dari aspek pendidikan.

Memasuki fasa kedua kempen, beliau dapat melihat angin perubahan pengundi apabila sokongan diterima daripada pelbagai kaum yang mahu mengubah kehidupan masyarakat di sini.

“Jika dibandingkan pada tahun 2018, ada body language mereka (selain pengundi Melayu) yang kurang selesa dengan kita.

“Namun hari ini, ketika walkabout dilakukan, kita bagi flyers mereka ambil dan bertanya soalan kepada saya, itu menunjukkan satu body languange yang baik.

“Pada mereka (pengundi), sudah 15 tahun tiada apa-apa pembangunan di sini, tidak kira Melayu, Cina atau india, mereka semua hendakkan satu perubahan drastik dilaksanakan,” tegasnya selepas menghadiri majlis pelancaran jentera BN Sungai Petani petang semalam.

Beliau yang sudah berkhidmat hampir 21 tahun di Parlimen berkenaan mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan retorik dan sentimen dijaja pihak lawan.

“Rakyat nakkan perubahan, rakyat juga bijak, apa-apa sahaja yang dimainkan oleh ahli politik, mereka boleh nilai melalui internet sama ada ia benar atau tidak.

“Jadi kita hanya tinggal 7 hari sahaja lagi untuk meyakinkan rakyat memberi peluang kepada saya dan BN untuk bawa perubahan di sini,” katanya.

Kerusi Parlimen Sungai Petani menyaksikan pertembungan 5 penjuru.

4 calon lain ialah Dr Mohammed Taufiq Johari mewakili PH,Tan Chow Kang @ Tan Joon Long, Parti Rakyat Malaysia (PRM), Datuk Marzuki Yahya, calon PEJUANG dan Dr Robert Ling Kui Ee, PN. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini