Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: 11 pusat mengundi di Bahagian Pilihan Raya Parlimen Baram, Sarawak digantung pengundian kerana keadaan cuaca yang tidak baik.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, situasi itu juga menyebabkan petugas tidak dapat sampai ke tempat bertugas sama ada melalui laluan udara, darat dan air.
11 pusat mengundi membabitkan saluran 1 dan 2 adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Long Naah,
RH TK Matthew Belulok Lalo Kpg. Lepo Gah, SK Long Tungan, SK Long Moh, SK Long Jekitan, SK Lio Mato dan SK Long Banga.
Pusat mengundi yang digantung pengundian di saluran 1 adalah SK Long Mekabar, manakala penggantungan pengundian saluran 2 pula di SK Long Luteng dan SK Long Lamei.
“Tarikh baharu pengundian bagi pusat mengundi dan tempat mengundi (saluran) akan dimaklumkan kelak setelah keadaan selamat untuk petugas dan pengundi sampai ke pusat mengundi bagi menjalankan pengundian,” kata Tan Sri Abdul Ghani dalam satu kenyataan hari ini.
Kawasan Baram antara lokasi kerap banjir terutama ketika musim tengkujuh di Sarawak.
Parlimen Baram menyaksikan saingan antara bekas penyandang Anyi Ngau yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS), Roland Engan (Pakatan Harapan) dan Wilfred Entika Rebai (bebas).