Oleh Baharuddin Mohamed
MELAKA: Sebanyak 100 borang penamaan calon bagi 6 kerusi parlimen di negeri ini sudah dijual sehingga semalam menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) esok.
Menurut sumber, daripada jumlah itu, 91 dijual untuk 11 parti bertanding di semua 6 kawasan parlimen manakala 9 lagi dibeli calon bebas.
“Kita menjangkakan, jumlah pembelian borang akan meningkat sebanyak 50 borang lagi hari ini sehingga penjualan borang ditutup jam 10 malam ini.
“Sejak borang dijual 20 Oktober lalu, angka pembelian terus meningkat walaupun PRU-15 di Melaka hanya menyaksikan pertandingan 6 kerusi parlimen,” katanya kepada Buletin TV3 di sini hari ini.
Melaka mempunyai 6 kerusi Parlimen iaitu Jasin, Masjid Tanah, Hang Tuah Jaya, Kota Melaka, Tangga Batu dan Alor Gajah.
Setakat ini, 11 parti sudah mengesahkan bertanding di semua 6 kerusi berkenaan di bawah gagasan Barisan Nasional (BN) Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA).
Melaka telah selesai mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 20 November tahun lalu.