comscore
Tumpuan :
Nasional

PRN: Sah UMNO Selangor tanding di lebih 5 kerusi DUN

Oleh: Juliana Sharin

GOMBAK: UMNO Selangor mengesahkan parti itu akan bertanding di lebih lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin bagaimanapun berkata jumlah tepat kerusi DUN yang akan diwakili parti itu bakal diumum Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menjelaskan perbincangan di peringkat negeri sudah dimuktamadkan dengan senarai calon sudah dikemukakan kepada kepemimpinan parti, malam tadi.

“Saya bersama lima Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang terbabit dalam PRN sudah pun menyerahkan senarai pendek nama calon kepada Ahmad Zahid, malam tadi, dan Selangor paling akhir membuat pembentangan. Bagaimanapun, akan ada tapisan kedua yang akan dibuat Selasa depan, sebelum pengumuman senarai penuh calon dibuat pada 21 Julai ini,” katanya.

Tambahnya lagi, BN Selangor bakal menampilkan calon daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur.

Datuk Megat bagaimanapun enggan mengulas apabila diaju soalan mengenai desas-desus beliau akan bertanding di DUN Gombak Setia.

“Pelbagai desas-desus kita dengar tetapi saya fikir ini adalah hak presiden untuk umumkan. Nasib saya sama ada bertanding atau tidak pun biarlah presiden yang tentukan,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, makan tengah hari serta menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Khairiyah, di Taman Seri Gombak.

Loading...
Terkini