
KOTA KINABALU: Dua parti setakat ini menyatakan hasrat bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) Sabah yang dijangka diadakan seawal Ogos atau September depan.
Minggu lalu, Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyatakan pendirian parti pimpinannya untuk bertanding solo manakala sebelum itu Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pimpinan Datuk Peter Anthony awal-awal lagi mengumumkan bertanding solo.
Peter yang juga bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah kini menjalani hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan memalsukan dokumen.
KDM adalah parti serpihan Warisan kerana diasaskan oleh Peter pada 28 Januari 2022 setelah meletak jawatan sebagai Naib Presiden Warisan dan meninggalkan parti itu pada akhir 2021.
Peter sudah beberapa kali mengulangi pendiriannya untuk membawa KDM bertanding solo di lebih 40 kerusi daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan berhasrat untuk menjadi ‘king maker’ selepas PRN-17 nanti.
Pendirian itu bakal diteruskan anaknya selaku Timbalan Presiden KDM, Priscella Peter yang kini menggalas tugas Peter memimpin KDM bersama seorang lagi Timbalan Presiden yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Wetrom Bahanda.
Sementara itu, Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna ketika ditemui media pada 8 Mac lalu menjelaskan pihaknya lebih selesa bertanding sendiri walaupun pelbagai spekulasi dan khabar angin timbul mengaitkannya dengan parti lain, sebelum ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.