SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan bercadang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15, sekitar Mei atau Jun tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata tempoh berkenaan dianggap paling sesuai selain menghampiri kepada penghujung penggal pentadbiran dan ia juga bagi memberi ruang kepada kerajaan negeri fokus kepada pemulihan ekonomi.
Katanya, kerajaan negeri perlu menggunakan mandat selama lima tahun yang diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan sebaiknya untuk mentadbir negeri dengan baik.
“Insya-Allah kita akan bubarkan DUN sekitar Mei atau Jun bagi memberi laluan kepada PRN.
“Kita perlu menggunakan mandat rakyat selama lima tahun ini untuk mentadbir negeri dengan baik, tambahan pula dengan situasi politik negara yang dinamik ketika ini, kita berharap dalam tempoh beberapa bulan ini dapat melaksanakan tugas yang terbaik untuk negeri dan negara.
“Kita tidak mahu terlalu memberi fokus kepada isu politik, namun kita perlu kawal dengan tumpuan ketika ini perlu diberikan kepada isu pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya, hari ini.
Terdahulu beliau menyampaikan ucap utama pada Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan 2023 di Dewan Theatrette Wisma Negeri, di sini.
Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan diminta mengulas mengenai tarikh mengadakan PRN yang perlu diadakan pada tahun ini.
Beliau menegaskan bahawa pihaknya perlu mengurangkan kenyataan politik bagi mewujudkan keharmonian dalam kerajaan negeri serta masyarakat.
“Kita tidak mahu pelabur luar lari atau hilang keyakinan kepada negeri dan negara disebabkan terlalu memberi tumpuan kepada isu politik,” katanya.
Mengenai kerjasama antara gabungan PH dengan Barisan Nasional (BN), beliau yakin perkara itu akan dapat diputuskan oleh pucuk pimpinan kedua-dua gabungan berkenaan dalam tempoh terdekat.
Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson percaya suatu keputusan yang baik akan dapat dicapai dalam memastikan kestabilan politik negara dan negeri.
“Saya yakin keputusan yang akan dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti dan gabungan ini akan dapat meredakan suhu politik, insya-Allah,” katanya.