comscore
Tumpuan :
Nasional

PRN : MUDA Hustle berjaya kumpul lebih RM800,000

KUALA LUMPUR: Selain penjualan otak-otak Muar, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bersedia menerima sumbangan serendah RM5 melalui inisiatif MUDA Hustle yang kini berjaya mengumpul sebanyak RM854,350.82 sejak ia dilancarkan awal bulan ini bagi dana Pilihan Raya Negeri (PRN).

MUDA dalam kenyataannya berkata, parti itu yang mensasarkan dana kutipan berjumlah RM1.5 juta, akan turut mengadakan lelongan seni membabitkan lukisan yang didermakan pelukis tersohor untuk pendanaan parti sempena PRN ini.

“Sasaran pengumpulan dana keseluruhan bagi MUDA Hustle adalah sebanyak RM1.5 juta, bagi kos anggaran kempen bagi PRN.

“Sehingga Khamis lalu, MUDA Hustle berjaya mengumpul sejumlah RM854,350.82 membabitkan seramai 4,396 individu yang menyumbang kepada usaha ini.

“Purata sumbangan adalah sebanyak RM194.35 setiap orang. Sumbangan bermula serendah RM5,” katanya melalui kenyataan, di sini.

Pada 4 Julai lalu, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, melancarkan inisiatif MUDA Hustle dalam usaha mengumpul dana bagi menghadapi Pilihan PRN.

Ia akan dilakukan 100 peratus secara maya menerusi platform media sosial, bermula dengan penjualan otak-otak Muar secara dalam talian diikuti oleh pimpinan yang lain.

Pada masa sama, menurut MUDA, Syed Saddiq sendiri akan mengadakan lelongan seni pada 28 hingga 30 Julai ini pada 6 hingga 7 petang.

Katanya, karya yang akan dilelong membabitkan hasil tangan beberapa seniman tempatan iaitu dua Lukisan dari Yusof Ghanidan satu Lukisan oleh Tan Choon Ghee.

“Selain itu, tiga gambar (fotografi) oleh jurugambar Perancis, En Ould Amer Tarik turut dilelong dalam acara itu.

“Semua hasil karya akan dipamerkan di laman sesawang https://bit.ly/saddiqpaintingauction,” katanya.

MUDA Hustle menawarkan tiga cara untuk menyumbang kepada usaha pengumpulan dana mereka membabitkan pembelian terus melalui aktiviti di bawah inisiatif terbabit, sumbangan melalui portal www.undimuda.my dan sumbangan terus ke akaun bank rasmi MUDA.

Katanya, selain lelongan seni dan penjualan otak-otak Muar, aktiviti lain di bawah MUDA Hustle antaranya jualan barangan ‘Yang Bersuara’; futsal dan penjualan buku.

Sebelum ini, MUDA mengumumkan 20 calon yang akan bertanding PRN di empat negeri sahaja iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Terengganu, bulan depan.

Loading...
Terkini