Tumpuan :
Politik

PRN KKB: Kebajikan belia, wanita antara fokus Sock Tao

Calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao.

HULU SELANGOR: Aspek kebajikan golongan belia dan wanita adalah antara fokus yang akan diketengahkan calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menegaskan beliau komited memperjuangkan kebajikan kedua-dua golongan berkenaan, selain menyifatkan isu terbabit amat dekat di hatinya.

“Sudah tentu perancangan atau dasar baharu bagi memperkasakan golongan belia dan wanita akan dimasukkan dalam manifesto yang akan dilancarkan kelak.”

“Selain itu, saya akan meneruskan perancangan pembangunan dan agenda diatur mendiang Lee Kee Hiong, jika diberi peluang mewakili suara rakyat di Kuala Kubu Bharu ini nanti,” katanya ketika ditemui seusai proses Penamaan Calon PRK DUN Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.

Pada PRK berkenaan, beliau akan berdepan saingan daripada calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut; diikuti Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

PRK DUN Kuala Kubu Bharu N.06 Selangor diadakan susulan kematian Kee Hiong yang juga bekas Ketua Wanita DAP Selangor akibat kanser pada 21 Mac lalu.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 40,226 pemilih berdaftar direkodkan di DUN Kuala Kubu Bharu, masing-masing 39,362 pengundi biasa, manakala tentera dan pasangan (238), polis (625) dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini