comscore
Tumpuan :
Nasional

PRN: Jangan ambil mudah, tunaikan hak sebagai pengundi – Muhyiddin 

Foto NSTP

CHUKAI: Sikap ambil ringan dan mudah dengan berpendapat tidak perlu keluar mengundi kerana yakin parti yang disokong akan menang perlu diubah.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, terdapat segelintir pengundi yang layak membuang undi berfikiran sedemikian sekaligus mensia-siakan hak mereka untuk memilih kerajaan.

Justeru, beliau mengingatkan mereka yang layak supaya keluar menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

“Pertama, kita nak supaya seberapa ramai mungkin pengundi keluar, itu (yang) saya ulang selalu, jangan ada yang kata tak payah mengundi mesti menang dan sebagainya, sifat macam itu tak berapa baik (kerana) kita mahu supaya peratusan pengundi itu kalau banding dengan PRU (Pilihan Raya Umum) yang lepas lebih tinggi sampai ke 80 atau 90 peratus.

“Yang kedua (pengundi diingatkan untuk) baca manifesto (kerana) mungkin sebahagian besar tidak tahu apa manifesto, itu janji dan saya fikir Perikatan Nasional di semua negeri telah pun melancarkan manifesto masing-masing, janji kita.

“Ketiga lihat apa yang kerajaan pusat sudah buat (dan) di situ kita tahu kelemahan, kegagalan dan sebagainya dan jangan kita ulang lagi kalau kita terpilih yang lepas (ketika PRU yang lalu), ini masa kita betulkan balik supaya sokong kepada Perikatan Nasional,” katanya.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Ceramah Grand Finale Perikatan Nasional di Padang Bola Bukit Kuang di sini malam tadi.

Turut hadir, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Senator Datuk Razali Idris.

Muhyiddin berkata, sokongan rakyat terhadap PN juga semakin ketara namun semua pihak tidak boleh terlalu yakin sebaliknya perlu bekerja keras hingga ke hari terakhir kempen.

“Alhamdullillah, saya lihat di mana-mana sahaja gelombang Perikatan Nasional, gelombang rakyat agak begitu nyata (dan) ramai yang hadir macam malam ini, tempat-tempat lain pun begitu ketara sangat di kalangan pengundi-pengundi Melayu tapi ada juga bukan Melayu (seperti) India juga sudah nampak beralih kepada PN.

“Tetapi kita tak boleh orang kata mengambil mudah, tak boleh masih selesa dan sebagainya kerana usaha mesti dibuat terus sampai ke malam terakhir, InshaAllah,” katanya.

Loading...
Terkini