![](https://media.buletintv3.my/2023/07/PiumbgZj-bn.jpg)
KUALA LUMPUR: Seorang ahli BERSATU dipecat dan dua lagi digantung keahlian selama tiga tahun selepas didapati menghasut, memboikot dan mensabotaj kempen pilihan raya Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini.
Difahamkan, ketiga-tiga ahli biasa BERSATU Bahagian Hulu Selangor itu dikenakan tindakan disiplin selepas terbabit dalam insiden membakar bendera PN, yang tular di media sosial minggu lalu.
Artikel berkaitan: Bilik gerakan “Op Room Cantas” pantau perjalanan PRN 2023
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ketiga-tiga ahli parti itu dikenakan tindakan disiplin kerana melanggar Fasal 10.2.2 Perlembagaan BERSATU menerusi perbuatan menghasut, memboikot dan mensabotaj kempen pilihan raya PN.
Sehubungan itu, katanya dalam satu kenyataan, Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi pada Rabu lalu memutuskan memecat seorang ahli BERSATU dan menggantung keahlian dua lagi anggota parti yang terbabit dengan perbuatan berkenaan.
![](https://media.buletintv3.my/2023/07/Datuk-Seri-Hamzah-Zainudin.jpg)
Minggu lalu, tular di beberapa gambar di media sosial menunjukkan beberapa individu memijak dan membakar bendera PN.
Tindakan itu dikatakan sebagai bantahan dan memboikot pengumuman calon PN bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Batang Kali, selepas nama Muhammad Muhaimin Harith diumumkan oleh pimpinan PN.
Menurut hantaran berkenaan, ahli BERSATU Bahagian Hulu Selangor dikatakan menolak Muhammad Muhaimin, sebaliknya mencadangkan Khairul Azhari Saut bertanding di DUN Batang Kali.