KOTA BHARU: Teka teki membabitkan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa dan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sama ada bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini terjawab malam ini apabila kedua-dua nama itu tidak tercalon.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dalam Majlis Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional (PN) Kelantan di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV di sini, sebentar tadi.
Yang turut hadir pada majlis itu, termasuk Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor.
Annuar sebelum ini dikatakan bakal bertanding di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Ketereh.
Nik Mohamad Abduh pula dikatakan akan bertanding di DUN Chempaka selepas nama anak bekas Menteri Besar itu digugurkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Media sebelum ini melaporkan, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, terus berteka-teki mengenai sama ada Nik Mohamad Abduh tercalon atau sebaliknya pada PRN.
Meminta semua pihak menunggu sehingga hari penamaan, beliau mengakui akan berlaku kejutan, termasuk kemungkinan tokoh UMNO ditampilkan sebagai calon.