ALOR SETAR: Polis Kedah akan memanggil seorang Ahli Parlimen di Kedah untuk membantu siasatan berhubung kenyataan yang dikeluarkan dalam satu ceramah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sungai Petani, baru-baru ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Saleh, berkata setakat ini polis menerima empat laporan polis berhubung kenyataan Ahli Parlimen terbabit melalui aplikasi media sosial.
Beliau berkata, kenyataan itu dilihat sebagai suatu fitnah mengelirukan dengan niat mendatangkan khianat awam yang boleh menggugat ketenteraman awam dan negara mengait keselamatan diri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Setakat ini, empat individu yang membuat laporan polis dan sudah dipanggil untuk diambil keterangan.
“Susulan laporan yang dibuat, siasatan dijalankan mengikut seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998,” katanya selepas meninjau proses undi awal membabitkan 875 pegawai dan anggota di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.