comscore
Tumpuan :
Nasional

PRN 2023: UMNO Kedah tampil lebih 30% muka baharu

Oleh Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

KUALA LUMPUR: Lebih 30 peratus calon muka baharu ditampilkan UMNO Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid pemilihan calon dibuat dengan mengambil kira semua faktor terutama penerimaan rakyat terhadap calon yang dipilih.

“Lebih 30 peratus calon ditampilkan UMNO kali ini merupakan muka-muka baharu yang akan digandingkan dengan calon berpengalaman. Kita sudah serahkan tiga nama dari setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada kepimpinan Pusat untuk dinilai dan terpulang kepada mereka untuk membuat pengumuman nanti.

“Antara faktor terpenting yang dinilai adalah penerimaan rakyat kepada personaliti itu. Kalau rakyat suka dan parti pun suka, insya Allah kita boleh mencapai kemenangan”

Tambah Mahdzir, jumlah itu melebihi daripada kuota pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu dan tidak lagi tertakluk kepada faktor senioriti dan kedudukan jawatan dalam parti.

Menurutnya, tidak mustahil calon kitar semula akan turut memeriahkan saingan PRN asalkan berpotensi memberi kemenangan kepada gabungan BN-PH.

Mengulas mengenai kedudukan satu lagi kerusi DUN di Kedah yang sebelum ini dikatakan terdapat pertindihan dengan Pakatan Pakatan (PH), Mahdzir berkata, perkara itu dianggap sudah selesai selepas diserahkan kepada kepimpinan kedua-dua gabungan di peringkat Pusat untuk diputuskan.

“Sekarang ini segalanya sudah bersedia dan kita hanya tunggu pengumuman calon saja. Esok baru kita tahu bila senarai nama calon itu akan diumumkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkeyakinan tinggi terhadap kemampuan BN dan PH pada PRN kali ini walaupun kedua-dua gabungan itu baru lapan bulan bekerjasama.

“Kerjasama ini berlaku di tiga peringkat iaitu nasional, negeri dan akar umbi. Alhamdulillah, kerjasama di ketiga-tiga peringkat itu tampak ‘cantik’ dengan kepimpinan akar umbi di Kedah ini juga sudah menubuhkan jawatankuasa sesama mereka di setiap DUN untuk menjalankan kerja secara sistematik,” katanya.

Loading...
Terkini