Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kesemua 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan satu kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dipertandingkan, sekaligus menyaksikan tiada kerusi menang tanpa bertanding.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, sebanyak 573 kertas penamaan dikemukakan oleh pelbagai parti dan individu pada hari penamaan calon.
“Daripada 573 kertas penamaan calon, satu kertas penamaan calon ditolak di N.09 Kota Lama, Kelantan membabitkan calon bebas” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Tambahnya, 173 pusat penamaan dibuka bermula jam 9 pagi hingga jam 10 pagi tadi.
Daripada 572 calon yang layak bertanding, seramai 138 calon dari Pakatan Harapan (PH) dan 108 calon dari Barisan Nasional (BN) manakala 168 calon dari Perikatan Nasional (PN).
Selain itu, 78 calon bertanding mewakili PAS, 19 calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Rakyat Malaysia (13), Parti Sosialis Malaysia (4), Penang Front Party (2), Parti Utama Rakyat (1) dan calon bebas, 41 orang.
Mengulas lanjut, Abdul Ghani berkata, sebanyak 181 kerusi menyaksikan pertandingan satu lawan satu, 51 kerusi pertandingan tiga penjuru, 13 kerusi empat penjuru manakala satu kerusi di N.34 Lunas, Kedah, menyaksikan pertembungan lima penjuru.
“Bilangan calon bertanding mengikut jantina iaitu lelaki seramai 501 orang dan 71 wanita,” katanya.
Calon tertua ialah Ravinder Singh Mall Singh berusia 80 tahun yang bertanding atas tiket Parti Rakyat Malaysia di N.36 Pantai Jerejak, Pulau Pinang, sementara calon termuda ialah Melanie Ting Yi-Hlin berumur 23 tahun di N.19 Bukit Antarabangsa, Selangor mewakili MUDA.
Abdul Ghani berkata, tempoh berkempen akan berakhir jam 11.59 malam, 11 Ogos ini.
SPR menetapkan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian manakala hari undi awal adalah pada 8 Ogos.
Seramai 9,773,571 pengundi akan memilih wakil rakyat pilihan masing-masing di 36 kerusi DUN Kedah, 45 kerusi DUN Kelantan, 32 kerusi DUN Terengganu, 40 kerusi DUN Pulau Pinang, 56 kerusi DUN Selangor dan 36 kerusi DUN Negeri Sembilan, serta satu kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
Kos pelaksanaan PRN dan PRK kali ini mencecah lebih RM420 juta melibatkan hampir 3,500 pusat mengundi dengan lebih 17,000 saluran mengundi diguna pakai bagi proses pengundian.