Tumpuan :
Politik

PRN 2023: PH-BN berdepan saingan sengit PN

Foto hiasan

PETALING JAYA: Penetapan hari penamaan calon dan tarikh mengundi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) awal hari ini menambah bahang politik negara.

Pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri itu menyaksikan pertembungan antara gandingan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang bersekutu dalam Kerajaan Perpaduan dengan Perikatan Nasional (PN).

Kedua-dua pihak sekian lama menzahirkan keyakinan untuk mencapaikan kemenangan memberangsangkan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dilaporkan yakin pihaknya akan memperolehi 80 peratus undi, khususnya daripada pengundi Melayu di enam negeri berkenaan.

Manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mempamerkan keyakinan tinggi gandingan PN dan BN mampu menawan kubu kuat PN.

“Saya lihat tiga negeri itu sangat kuat dan boleh bertahan Inshallah dan kita boleh sekarang ini nampak 2 negeri lagi,” katanya.

Apa pun, kedua-dua pihak sibuk mengatur strategi memenangi seberapa banyak daripada 245 kerusi dewan undangan negeri (DUN) yang dipertandingkan di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos ini.

Kelmarin, Muhyiddin mengadakan perjumpaan dengan Tun Dr Mahathir yang pernah menggelar Presiden Bersatu itu sebagai pengkhianat susulan peristiwa Langkah Sheraton yang menyaksikan Dr Mahathir terpaksa berundur sebagai Perdana Menteri.

Tentunya Muhyiddin mengharapkan pertemuan di kediaman Dr Mahathir ini membawa hasil tersendiri untuk partinya.

Namun PN, khususnya Bersatu dibelenggui pertuduhan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan beberapa pemimpinnya, termasuk Muhyiddin.

Untuk PH dan BN, Pengalisis Politik Prof. Dr Hamdan Mohd Salleh berpendapat pilihan raya negeri menjadi pentas untuk menampilkan rekod Kerajaan Perpaduan memulihkan kestabilan politik negara sejak berkuasa November lalu.

“Kita perlukan kestabilan politik dalam kerangka cabaran ekonomi, cabaran untuk menyelesaikan kos sara hidup cabaran dalam mengangkat semula tadbir urus tata kelola dan memberi keyakinan kepada rakyat dan negara,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Selain isu-isu tempatan, pengundi enam negeri tentunya juga akan memerinci rekod Kerajaan Perpaduan menguruskan ekonomi dan kos sara hidup dalam persekitaran global mencabar.

Loading...
Terkini