Tumpuan :
Nasional

[KEMAS KINI] PRN 2023: Peti undi tidak berkunci, pengundian digantung di sebuah saluran

PAYA TERUBONG :  Pengundian di sebuah saluran mengundi Sekolah Kebangsaan Sri Relau di sini,  ditangguhkan selepas calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi DUN Paya Terubong, Ooi Ghee Oon, mendapati peti undi yang berkenaan tidak ditutup.

Memetik laporan Sin Chew Daily, Ooi menemui kotak yang tidak bermeterai itu, dengan 177 kertas undi sudah dibuang.

Beliau meminta pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pengundian bagi aliran itu, yang sepatutnya mempunyai 719 pengundi.

Pegawai SPR sedang menyiasat perkara itu.

Setakat ini, masih belum diketahui jika 177 undi yang telah dibuang akan menjadi tidak sah.

Sementara itu, Buletin TV3 dimaklumkan Ooi akan membuat laporan polis di IPD Timur Laut kira-kira jam 2.30 petang ini berhubung kejadian itu.

“Lebih kurang 11.30 pagi, saya telah melawat ke pusat mengundi. Bila saya sampai di SK Relau, saya telah mendapati ada peti undi yang tidak ditutup.

“Jadi saya terus menghentikan saluran itu daripada menerima pengundi sehinggalah pihak SPR, PDRM datang ke kawasan itu.

“Tetapi bila saya rujuk mereka, mereka kata mereka dapat arahan untuk seal semula sahaja peti tersebut.

“Jadi ini sesuatu yang meragukan saya kerana mereka ada additional seal, mereka boleh buka dan tutup peti itu pada bila bila masa sahaja”, katanya.

Pada PRN kali ini, Ooi akan dicabar calon Pakatan Harapan Wong Hon Wai bagi kerusi DUN Paya Terubong.

Dalam pada itu,  Wong ketika dihubungi Buletin TV3 memberitahu  proses pengundian di saluran berkenaan telah disambung semula kira-kira jam 12.30 tengah hari.

 

Loading...
Terkini