![](https://media.buletintv3.my/2023/07/mX8RL5NX-BULETIN-TV3-60.jpg)
Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
GOMBAK: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Barisan nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya N.17 Gombak Setia, Mohd Hasrulhisham Abdullah mengumumkan senarai calon yang bertanding pada 10.52 pagi selepas proses penamaan di Dewan Mutiara Bestari, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, ditutup jam 10 pagi tadi.
Katanya, selepas semakan dilakukan, pihaknya berpuas hati dengan proses penamaan selain tiada calon ditolak kertas penamaannya.
Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini memperlihatkan Pengerusi BN Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin sekali lagi bertanding di DUN berkenaan.
Beliau bakal menentang penyandang kerusi terbabit, Muhammad Hilman Idham yang bertanding atas tiket PN dan seorang lagi calon Bebas, Mohamed Salim Mohamed Ali.
Dalam pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Hilman berjaya memperoleh 24,157 undi dengan majoriti sebanyak 12,399 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR), menewaskan Datuk Megat (11,113 undi) dan Hasbullah Ridzwan, PAS (11,758 undi).