KOTA BHARU: Pemilihan calon PAS yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, 12 Ogos depan akan selesai dalam tempoh dua minggu lagi, menurut Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Katanya, Majlis Syura Ulama akan mengadakan mesyuarat minggu ini untuk membuat tapisan.
“Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), mereka menghantar sekurang-kurangnya dua hingga lima nama untuk diteliti dan kesemua nama itu akan ditapis terlebih dahulu oleh Majlis Syura Ulama.
“Majlis Syura Ulama bukan menentukan siapa calon yang akan bertanding sebaliknya mereka meneliti tentang kelayakan syarie, contohnya bukan pelaku dosa besar dan bukan individu merosakkan nama parti.
“Selepas selesai di Majlis Syura Ulama, ia akan diserah kepada Jawatankuasa Pusat dan Presiden akan memanggil kepimpinan negeri pula untuk diperhalusi. Kita jangka segala-galanya selesai dalam tempoh dua minggu,” katanya.
Beliau ditemui media selepas menghadiri Ceramah Mega Pakat Pertahan di sini, malam tadi.
Hadir sama, Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor.
Laporan sebelum ini menyebut, Majlis Syura Ulama PAS dijangka melakukan tapisan calon hari ini, ketika desas-desus bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, yang baru menyertai parti itu, mungkin tersenarai sebagai calon di Kelantan.
PAS pada masa sama, dilaporkan terbuka untuk menerima bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, menyertai parti itu dan menjadikannya calon PRN kali ini.
Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin pula berkata nama Annuar antara yang mungkin diletakkan dalam senarai calon yang akan dikemukakan kepada Majlis Syura Ulama bagi tapisan.