ALOR SETAR: Majlis Pengisytiharan Calon-Calon Perikatan Nasional (PN) Kedah yang dijadual berlangsung Jumaat ini ditangguh ke Selasa depan, menurut Setiausaha PN Kedah, Musoddak Ahmad.
Musoddak dalam kenyataan berkata keputusan itu dibuat atas arahan Majlis Perikatan Nasional Pusat.
“Majlis pengisytiharan calon yang dicadangkan pada 21 Julai 2023 ditangguhkan kepada 25 Julai 2023.
“Majlis itu dijangka berlangsung antara jam 7 malam hingga 12 malam di Kompleks PAS Kedah, di sini,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, senarai calon di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diumumkan beliau pada hari berkenaan.
Bagaimanapun, hari ini Sanusi ditahan polis untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah mengikut Akta Hasutan.