comscore
Tumpuan :
Nasional

PRN 2023: MUDA tampil 50% calon wanita 

Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz (kiri) di program MUDA Hustle di Bangsar, hari ini. – Foto ihsan FB Amira Aisya Abd Aziz.

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan mengetengahkan 50 peratus calon wanita untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, 12 Ogos depan, kata Timbalan Presidennya, Amira Aisya Abd Aziz .

Menurut beliau, pihaknya kali ini, akan menampilkan senarai calon yang berkualiti, bijak dan mengambil berat mengenai masalah rakyat.

Katanya, Dewan Rakyat dan Dewan Undang Negeri (DUN) perlu mempunyai perwakilan sewajarnya bagi mencerminkan komposisi sebenar rakyat negara ini.

“Populasi Malaysia itu sendiri hampir 50 peratus adalah wanita, namun perkara berkenaan tidak dicerminkan dalam Parlimen dan DUN.

“Bila kita kata ramai di Malaysia ramai orang muda, kenapa di dalam Dewan Rakyat dan DUN, tidak ramai orang muda. Kenapa di Dewan Rakyat hanya ada 15 peratus wanita?” katanya ketika ditemui pada program MUDA Hustle di Bangsar, di sini, hari ini.

Pada program itu, parti berkenaan mengadakan jualan kemeja-T, nasi lemak dan teh masala bertujuan mengumpul dana bagi calon wanita di Bangsar.

Mengulas mengenai jumlah kerusi yang akan dipertaruhkan parti itu pada PRN kali ini, Amira berkata pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.

“Kita akan buat pengumuman rasmi mengenai kerusi PRN tidak lama lagi dan ia akan diketuai oleh Luqman Long sebagai pengarah pilihan raya.

“MUDA juga membuka permohonan untuk orang ramai meletakkan diri sebagai calon PRN. Setakat in, MUDA sudah menerima banyak permohonan, sama ada daripada wanita mahupun lelaki.

“Namun, calon MUDA yang akan ditampilkan pada PRN kali ini adalah berdasarkan merit,” katanya.

Loading...
Terkini