Tumpuan :
Politik

PRN 2023: Merungkai kerjasama PH-BN; BERSATU-PAS

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan, gandingan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) diuar-uarkan bakal menjadi isu hangat pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.

Walaupun Perikatan Nasional (PN) menjadikannya peluru untuk meraih sokongan, spekulasi bahawa kerjasama dua bekas seteru politik itu tidak akan bertahan, dilihat tersasar.

Dalam pada itu, kerjasama dalam PN sendiri, khususnya antara BERSATU dan PAS dikatakan meniti ujian tersendiri menjelang hari pengundian Sabtu ini.

Apapun, jajaran politik baharu PH-BN bersama gabungan parti Sabah dan Sarawak mempunyai majoriti selesa di Parlimen iaitu sesuatu yang diakui PN sendiri.

Justeru, medan PRN digunakan untuk menyerang kerjasama gabungan tersebut khususnya antara UMNO dan DAP bagi menarik sokongan pengundi Melayu terutama di Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Tidak berapa lama dahulu, PAS dan BERSATU turut menjadi sekutu DAP, tetapi kini menyelar UMNO kerana berbuat demikian.

Penganalisis Politik, Dr. Jamaie Hamil

Menurut penganalisis politik, Dr Jamaie Hamil, isu tersebut dimainkan oleh PN untuk memancing undi masyarakat Melayu.

“Mereka melihat bahawa itu adalah peluang bagi mereka untuk mendapat sebanyak mungkin undi protes daripada pengundi UMNO dan BN untuk menolak kerjasama itu,” katanya.

Bagaimanapun, taktik politik itu belum nampak keberkesanannya.

Tindakan beberapa bekas pemimpin UMNO dan ahli keluarga mereka keluar parti itu dan menyokong PN sudah pun dijangka sebelum pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

Sementara itu, ketegasan UMNO dalam memperincikan perjuangannya juga menghantar mesej jelas kepada akar umbi.

Penganalisis Politik, Prof. Madya Dr. Mazlan Ali

Seorang lagi penganalisis politik, Prof Madya Dr Mazlan Ali yakin UMNO sebagai sebuah parti yang berpegang kepada tradisi membela orang Melayu dan orang Islam.

Maka ujarnya, hubungan parti tersebut dengan DAP tidak akan menjejaskan prinsip yang diperjuangkan.

“UMNO adalah parti yang ‘track record’ adalah sangat berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Saya juga percaya bahawa dalam keadaan tertentu DAP juga menghormati ketetapan dan prinsip dibawa oleh UMNO dan BN,” katanya.

Kerjasama pelbagai parti menerusi Kerajaan Perpaduan dilihat kunci kepada kestabilan politik yang diperlukan untuk menangani permasalahan rakyat sama ada di peringkat nasional mahupun negeri.

Dalam cubaan menjadikan kerjasama PH-BN sebagai isu politik, BERSATU sendiri ditempelak dengan laporan mengejutkan.

Berita ratusan ahlinya keluar parti di Rantau Abang, Terengganu dan menyertai UMNO mungkin dilihat fenomena biasa menjelang setiap pilihan raya.

Bekas MPT BERSATU, Dr. Muhammad Faiz Na’aman

Namun tindakan pemimpinnya, Dr Muhammad Faiz Na’aman keluar parti disebabkan kecewa dengan hala tuju BERSATU mendedahkan permasalahan dalaman dan juga hubungan parti itu dengan PAS di peringkat akar umbi.

“Perkara ini dah lama, pihak PAS ada yang melihat BERSATU sebagai parti yang lemah, lebih kecil dan tidak ada akar umbi.

Ini memang seringkali dipermain-main dalam minda warga PAS yang saya pernah kenal, jadi sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada psiki kepimpinan PAS untuk berhadapan dengan kami (BERSATU),” jelas Dr Muhammad Faiz.

Loading...
Terkini