KOTA BHARU: Kekecohan tercetus di Pusat Penamaan Calon Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini, hari ini, selepas nama seorang calon bebas ditolak.
Difahamkan, Tan Lay Tho, 63, yang tampil mahu menjadi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama ditolak berikutan tidak memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila pencadangnya, Ong Chi Lam, 63, yang juga suaminya dari DUN Bunut Payung.
Pada masa yang sama suri rumah itu turut membawa penyokong iaitu bapa saudaranya, Wee Choon Seng, 85, yang juga pengundi DUN Kota Lama.
Memetik laporan Berita Harian, Pengawai Pengurus Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama, Izzuddin Ab Rashid mengumumkan nama calon DUN Kota Lama pada jam 11.45 pagi.
Beliau berkata, pihaknya menerima lima kertas penamaan daripada lima calon yang hadir di pusat penamaan calon itu.
“Mereka mengemukakan kertas penamaan iaitu Izat Bukhary Ismail Bukhary dari calon bebas, Dr Hafidzah Mustakim (Pakatan Harapan), Datuk Zamri Ismail (PAS), Tan Boon Kian atau Andy Tan (Parti Rakyat Malaysia) dan Tan Lay Tho (bebas).
“Saya telah menyemak kertas penamaan dan setelah selesai disemak saya berpuas hati memutuskan ada yang ditolak kertas penamaannya (Tan Lay Tho).
“Dengan ini saya mengumumkan hanya empat calon yang disahkan bertanding dalam PRN ini,” katanya ketika mengumumkan nama calon di sini, hari ini.
Sejurus selepas pengumuman itu dibuat, Lay Tho dilihat tidak puas hati dan dengan nada tinggi memarahi pegawai pengurus kerana sudah membayar deposit RM5,000 untuk cuba menjadi calon.
Wanita itu menuntut kembali wang deposit segera dan enggan meninggalkan lokasi jika selagi tidak mendapat semula wang deposit itu.
Berikutan itu, petugas pilihan raya mengembalikan semula wang deposit wanita berkenaan dan keadaan kembali tenang.
DUN Kota Lama menyaksikan pertembungan empat penjuru, Tanjong Mas satu lawan satu iaitu Rohani Ibrahim (PAS) dan Zinda Khalil Sastro Hassan (PH) serta di Bunut Payong Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin (BN) menentang Shaari Mat Yaman (PAS).