comscore
Tumpuan :
Politik

PRN 2023 : Lewat mengundi, MB Kelantan mohon maaf

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, menunjukkan jari yang dicelup dakwat biru menandakan selesai proses mengundi di SMK Kampung Laut, hari ini. – Foto: NSTP

TUMPAT: Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob akhirnya tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut, di sini untuk mengundi, kurang tiga jam sebelum proses pengundian tamat.

Beliau yang juga calon PAS kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan, tiba jam 3.20 petang sambil berkali-kali memohon maaf kepada pengamal media yang menunggu beliau sejak jam 8 pagi lagi.

Ahmad memberi alasan beliau terlebih dahulu melawat pusat pengundian lain di dalam DUN Pasir Pekan, selain menghadiri jemputan majlis serta kenduri di beberapa tempat.

“Saya minta maaf atas kelewatan dan terima kasih kepada media yang setia menunggu.

“Lepas ini semua boleh balik mengundi di DUN masing-masing,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Mengenai perjalanan proses pengundian hari ini, beliau menyifatkan peratusan keluar mengundi di negeri ini masih lagi rendah berbanding Terengganu dan Kedah.

Menyasarkan peratusan sekurang-kurangnya dapat mencapai 70 peratus, Ahmad menyeru pengundi terutama anak muda agar keluar menunaikan tanggungjawab secepat mungkin.

“Tinjauan saya di beberapa pusat mengundi nampaknya agak sedikit peratusannya tapi kita berharap agar dapat capai sekurang-kurangnya 70 peratus.

“Saya melihat saluran 5 dan 6 agak perlahan kerana mungkin anak muda sedang berehat disebabkan berarak malam tadi dan kita seru agar ramai-ramai keluar mengundi,” katanya.

Loading...
Terkini