Tumpuan :
Politik

PRN 2023: Lebih 600 ahli Bersatu Rantau Abang sertai UMNO

FOTO: NSTP

DUNGUN: Lebih 600 ahli Bersatu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang bertindak keluar parti itu dan menyertai UMNO.

Tindakan itu dilakukan kerana mendakwa dipinggirkan selepas dua tahun menjadi keluarga parti berkenaan.

Bekas Pengerusi Penyelarasnya, Anwar Rosli, berkata ahli terbabit membuat keputusan sendiri tanpa campur tangan pihak lain.

Katanya, mereka (ahli) membuat keputusan keluar parti kerana kecewa dengan pimpinan tertinggi parti Dun berkenaan yang seolah-olah mengabaikan kebajikan ahli.

“Kami berasa terpinggir dan tidak diberi sebarang bantuan. Ahli kami yang susah dan memerlukan bantuan, Barisan Nasional (BN) yang datang membantu kami.

“Jadi kami rasa tidak perlu lagi untuk bersama parti yang mengabaikan kebajikan ahli, kami dipinggirkan, jadi kami sebulat suara tanpa paksaan mana-mana pihak, kami membuat keputusan untuk kembali semula bersama BN.

“Kami nampak hanya BN sahaja parti yang boleh membela nasib rakyat kerana kami sebelum ini pun adalah ahli BN tetapi bertindak keluar kerana sebab-sebab tertentu,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan borang keahlian UMNO yang diadakan di Markas BN Taman Permint, di sini, hari ini.

Bekas Ketua Bersatu Cawangan Balai Besar Jalaluddin Mohd Zin menyerahkan kira-kira lebih 600 borang bekas ahli Bersatu yang memohon untuk kembali menyertai UMNO kepada Timbalan Ketua UMNO Bahagian Dungun, Nur Hisyam Johari.

Katanya, kebanyakan bekas ahli Bersatu yang keluar parti itu melibatkan mereka di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Balai Besar dan Taman Permint Indah.

Menurut Anwar, Bersatu cawangan berkenaan dibubar dengan sendiri apabila sedikit demi sedikit ahli bertindak keluar tanpa menyertai mana-mana parti.

Jelasnya, keputusan untuk kembali ke BN dibuat kira-kira tiga bulan lalu apabila masing-masing mengisi borang keahlian UMNO sebelum diserahkan kepada kepimpinan tertinggi UMNO Bahagian Rantau Abang, hari ini.

“Kami nekad selepas ini tidak akan meninggalkan BN dan membantu berkempen bagi memastikan calon N26 Rantau Abang, Mohd Asri Mohamad menang pada pilihanraya Sabtu ini,” katanya.

Loading...
Terkini